KOTA KINABALU 3 Mac–Kehidupan di kawasan pedalaman tidak pernah mematahkan semangat seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Alib Hariyono, 18, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
Nur Alib Hariyono
Malah, persekitaran pembelajaran yang terpaksa berkongsi kemudahan sekolah antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon, Kota Marudu juga bukan halangan untuk anak muda ini memperoleh 9A+, 1A dan 1A-.
Lebih menggembirakan, bukan hanya mendapat keputusan cemerlang tetapi keputusan itu khas diberikan untuk kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai penjual kuih.
“Saya tidak pernah menyangka bakal menjadi antara 10 pelajar terbaik di negeri ini dalam SPM. Ini satu kejayaan bukan sahaja untuk diri saya tetapi satu hadiah berharga kepada ibu bapa,” katanya ketika ditemui dalam majlis pengumuman keputusan SPM 2014 di Wisma Pendidikan, di sini hari ini.
Jelas anak bongsu daripada dua adik-beradik itu, kekurangan persekitaran pembelajaran hingga terpaksa berkongsi sekolah pada sesi petang bukan suatu masalah bagi dia dan calon-calon SPM lain untuk memberi fokus ketika proses pengajaran berlangsung.
Ujarnya, guru-guru dan pihak pengurusan sekolah sentiasa menyediakan persekitaran pengajaran yang kondusif bagi memastikan para pelajar SMK Langkon tidak ketinggalan.
“Kejayaan hari ini juga berkat usaha, dorongan dan doa keluarga serta guru-guru selain menanam azam membawa keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera aeronautik.
Sementara itu, anak tunggal kepada pasangan guru dari SMK Matunggong, Kudat, Muhd. Ilham Fuad Awang Mohammad, 18, melahirkan rasa gembira apabila tersenarai dalam 10 pelajar terbaik SPM negeri ini.
Katanya, walaupun mempunyai kekurangan dari segi infrastruktur dan kemudahan pembelajaran lain seperti internet, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk berjaya.
“Di mana sahaja kita belajar semua sama. Apa yang penting usaha dan memberi yang terbaik dalam peperiksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Jame Alip ketika mengumumkan pencapaian SPM berkata, pencapaian calon menunjukkan penurunan dari segi kualiti yang diukur melalui pencapaian gred purata negeri (GPN) iaitu sebanyak 0.26 berbanding 2013.
Kata beliau, seramai 160 calon berjaya dengan cemerlang memperoleh gred A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 376 calon pada 2013, penurunan sebanyak 216 calon.
“Walaupun keputusan SPM tahun lalu menunjukkan sedikit penurunan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua warga pendidik atas kesungguhan mendidik sekali gus melahirkan pelajar-pelajar cemerlang.
“Harapan saya agar semua pihak dapat bekerjasama dalam memastikan keputusan di semua peperiksaan utama negara sentiasa meningkat baik di bandar mahupun di luar bandar,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda