Monday, March 2, 2015

Kota Marudu: Tiga beranak maut dalam kemalangan ngeri



KEADAAN mayat Jafry Maun yang rentung dijilat api apabila motosikalnya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam nahas ngeri di Kilometer 138.8, Jalan Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah, malam kelmarin.



KOTA MARUDU 1 Mac – Tiga anak-beranak menaiki motosikal maut dalam keadaan menyayat hati, termasuk si bapa mengalami rentung seluruh badan selepas mereka dirempuh kenderaan yang dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.


Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda dipercayai bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu di Kilometer 138.8, Jalan Kampung Tanah Merah, dekat sini semalam.

Kemalangan pukul 8.25 malam itu menyaksikan penunggang motosikal, Jafry Maun, 27, maut dengan rentung seluruh badan, manakala isteri mangsa, Lily Marni Gilong, 24, dan anak lelaki, Freedy, 2, mati akibat kecederaan parah di kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Mohd. Isa Yusof berkata, kesemua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.

Katanya, tiga anak-beranak tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Pitas untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Matu­ggong, Kudat iaitu kira-kira sejauh 115 kilometer dan Freedy dipercayai dikendong oleh Lily di bahagian tengah motosikal.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Kudat dan dipandu lelaki berusia 47 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan.

“Tindakan memasuki laluan bertentangan telah mengakibatkan pertembungan secara berhadapan antara kenderaan pacuan empat roda tersebut dengan motosikal yang dinaiki oleh tiga beranak itu.

“Akibat pertembungan tersebut, kedua-dua kenderaan terbakar dan menyaksikan penunggang motosikal, Jafry rentung dijilat api yang marak, bagaimanapun isteri dan anak berjaya diselamatkan oleh orang ramai daripada turut terbakar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, meskipun isteri dan anak mangsa berjaya diselamatkan daripada dijilat api, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami luka parah di kepala dan badan.

Tambahnya, mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat.

Sementara itu katanya, pemandu kenderaan Isuzu yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan pihak polis kerana dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

“Kita bertindak menahan pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut bagi membantu siasatan, selain mendapatkan sampel darah miliknya untuk dianalisis,” jelasnya.

Selain itu katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati jalan tersebut berada dalam keadaan kering dan cuaca juga adalah baik ketika kejadian, selain jalan itu juga merupakan laluan lurus dua hala.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...