Sunday, September 28, 2014

2 beradik rentung rumah terbakar


KOTA MARUDU 26 Sept. - Akibat bermain pemetik api, dua beradik lelaki berusia dua dan empat tahun rentung dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Paka, Jalan Marak Parak dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Avril Ilham, 2, dan abangnya, Azriel Aldi Raidue, 4.

Mereka ditemukan rentung di dalam sebuah bilik di rumah tersebut sebaik sahaja pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Isa Yusuf berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada salah seorang mangsa yang bermain pemetik api sehingga menyebabkan tilam di dalam bilik itu terbakar dan api marak dengan pantas.

"Mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat. Kita masih menjalankan siasatan lanjut tentang kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, ketika kejadian, bapa mangsa berada di bawah rumah manakala ibu mereka sedang mencuci pakaian di bilik mandi.

Sebaik sahaja menyedari kebakaran, bapa mangsa dikatakan cuba menyelamatkan dua beradik terbabit namun gagal dan kemudian menghubungi bomba dan penyelamat.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohammad Affendy K. Ramin memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.35 petang dan sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...