'Pesta Jagung' Dikenali Sebagai Pesta Kota Marudu Tahun Depan - Ongkili
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pertukaran nama itu adalah selaras dengan arahan kerajaan negeri supaya festival itu mencerminkan ciri-ciri daerah dan tidak berasaskan satu produk sahaja.
"Gesaan kerajaan negeri itu kena pada masanya kerana Pesta Jagung telahpun menjadikan Kota Marudu terkenal dengan pertanian jagung. Dengan perubahan nama festival, maka kita dapat memperkenalkan pelbagai ciri budaya dan produk Kota Marudu.
"Ini termasuk budaya dan amalan yang berasal dari Kota Marudu dan aktiviti lain seperti sukan bermotor 4x4 yang aktif di sini," kata Ongkili, yang juga anggota Parlimen Kota Marudu.
Bagaimanapun, jagung masih kekal sebagai ciri yang kukuh pada festival itu, kata beliau dan menambah usaha perlu diteruskan bagi menggalakkan aktiviti penanaman jagung dan pembangunan produk jagung dari Kota Marudu.
Katanya, aktiviti untuk menggalakkan gaya hidup hijau dan menggunakan tenaga dengan cekap adalah satu daripada amalan baik yang juga akan dipromosikan semasa festival dengan menyasarkan kumpulan seperti anak muda.
"Pesta Kota Marudu akan diadakan pada akhir tahun selepas pesta Kaamatan yang juga acara besar di daerah kami, 'katanya semasa pelancaran Pesta Jagung.
Aktiviti Pesta Jagung termasuk sukan komuniti dan permainan, pertandingan Ratu Pesta Jagung, pertandingan berasaskan produk pertanian, sukan bermotor dan pameran oleh pelbagai sektor swasta dan jabatan dan agensi kerajaan.
Ongkili berkata pembangunan di Kota Marudu adalah jelas dan harga hartanah telah meningkat tiga kali ganda pada tahun-tahun kebelakangan ini.
"Kedudukan Kota Marudu yang strategik telah menjadikannya daerah sesuai untuk muncul sebagai hab ekonomi utara Sabah. Pembangunan yang berlaku ialah hasil usaha semua pihak termasuk kerajaan dan sektor awam, "katanya.
Beliau berkata antara projek untuk memenuhi keperluan masyarakat ialah pembinaan 500 unit rumah awam di bawah Skim Perumahan Rakyat.
"Transformasi Kampung Gana juga berlaku dengan siapnya jalan aspel sepanjang 26km yang menghubungkan kampung itu dengan kawasan bandar. Ini membolehkan aktiviti ekonomi dilaksanakan di kampung dan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk penduduk kampung, " katanya.
"Di bawah skim Agropolitan Gana, penanaman getah membabitkan kawasan seluas 491 hektar telah siap sementara fasa kedua membabitkan 1,000 hektar tanah akan bermula tahun depan. Skim itu dilaksanakan melalui Lembaga Industri Getah Sabah," kata beliau.
--BERNAMA
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda