Qari Filipina, qariah Malaysia johan
MELAKA 22 Ogos – Qari dari kepulauan Luzon, Filipina, Muhammad Abdullah Asgar dan qariah Sabah, Nur Fateen Izzati Rablin muncul johan majlis Tilawah al-Quran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Peringkat Antarabangsa kali kedua di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini semalam.
Kejayaan itu membolehkan mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil.
Qari Brunei, Awang Md. Zul Hafiz Awang Tengah meraih tempat kedua dan Khairunnas Jamal dari Riau Indonesia di tempat ketiga.
Dua qariah Indonesia, Nurul Hayati Ismail dan Miftahul Jannah Sayuti masing-masing menduduki tempat kedua serta ketiga.
Pemenang tempat kedua dan ketiga menerima RM7,000 dan RM5,000 selain plak serta sijil.
Hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Tilawah kali ini menampilkan 36 peserta mewakili 10 buah negara yang melibatkan penyertaan 22 qari dan 14 qariah.
Sementara itu, Nur Fateen, 19, berkata, dia tidak menyangka akan menjadi johan kerana sekadar mendapat tempat saguhati pada majlis tilawah itu tahun lalu.
“Ini semua berkat dorongan ibu, Jamiam Achil, 50, dan ayah, Rablin Nordin, 55, yang mendorong saya untuk terus mencuba kerana mahu melihat saya menjadi johan tilawah peringkat antarabangsa,” katanya.
Nur Fateen yang khatam al-Quran ketika berusia 11 tahun berkata, dia membuat persiapan selama seminggu untuk menyertai tilawah itu setelah namanya dicalonkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS).
Pelajar semester tiga di Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat, Negeri Sabah itu berkata, kemenangan tersebut paling bermakna kerana dia belum pernah menjuarai mana-mana majlis tilawah sebelum ini.
Sementara itu, Muhammad Abdullah, 29, tidak menyangka akan muncul johan sekali lagi setelah menjuarai tilawah yang sama tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan memenanginya lagi tahun ini dan menganggapnya sebagai hadiah kepada isteri dan tiga anak.
“Kejayaan ini juga akan menjadi pendorong kepada saya untuk berusaha lebih gigih memperbaiki bacaan al-Quran,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda