Saturday, February 11, 2012

Kota Marudu: Derita melalui jalan ke Kampung Lingkabungan 2

Jom baca pengalaman wartawan utusan melalui jalan ke Kampung Langkabungan 2 di Kota Marudu. Semoga jalan utama itu dapat diperbaiki.

______________________________________________________________

Jalan umpama sawah padi

KOTA MARUDU 8 Feb. – “Boleh ditanam padi”, itulah kata-kata spontan jurugambar Utusan Malaysia, Ghazali Basri ketika melalui jalan ke Kampung Lingkabugan Dua di sini, baru-baru ini.

Satu-satunya jalan bagi kegunaan penduduk kampung tersebut berulang-alik itu begitu ‘dahsyat’ hinggakan tidak kesemua kenderaan pacuan empat roda mampu melalui jalan berkenaan.

Selain kecekapan pemanduan, penyelenggaraan kereta, termasuk penggunaan tayar yang sesuai dari segi bunga dan ketinggian menentukan kejayaan sesebuah pacuan empat roda untuk ke kampung berkenaan.

Pengalaman penulis melalui jalan itu amat mencabar dan seolah-olah berada di atas sebuah jentera pembajak sawah.

Namun, itulah laluan utama penduduk Kampung Lingkabugan Dua di sini sejak sekian lama, meskipun setelah 54 tahun negara merdeka.

Ketua Kampung Lingkabugan Dua, Jonit Konduku (gambar) berkata, lebih 300 penduduk di kampung itu tiada pilihan selain terpaksa menggunakan jalan berkenaan.

Katanya, keadaan jalan yang begitu teruk itu memberi kesukaran kepada penduduk untuk berulang-alik dan melakukan aktiviti seharian.

“Jadi, jika tiada kenderaan kami terpaksa berjalan kaki untuk pergi ke bandar dan sebagainya. Ini juga amat menyukarkan untuk memasarkan hasil pertanian yang menjadi sumber pendapatan utama kami,” katanya.

Tambah Jonit, kebanyakan penduduk yang bekerja sebagai petani terpaksa menyewa kenderaan bagi membawa keluar hasil pertanian, sekali gus menyebabkan kosnya turut meningkat.
Malah, katanya, keadaan jalan berkenaan juga menyebabkan terdapat ramai kanak-kanak di situ tidak dapat bersekolah.

Jelasnya, kebanyakan keluarga juga tidak mampu menampung tambang berulang alik ke sekolah.
“Dahulu ada juga pelajar yang mempunyai semangat belajar sanggup berjalan kaki untuk ke sekolah, tetapi kini bagi mereka yang ingin belajar kebanyakannya tinggal di asrama di luar.

“Bagaimanapun ini masih memerlukan kos tinggi yang membebankan penduduk kerana tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Dalam pada itu, Rosdia Jason, 29, berkata, keadaan jalan berkenaan menyebabkan penduduk di situ seolah-olah terputus hubungan dengan dunia luar.

“Kami biasanya hanya keluar apabila ada hal penting dan kadangkala hanya memesan barangan daripada penduduk yang keluar,” katanya.

Sementara itu, Kewe Tumanjon, 46, berkata keadaan jalan berkenaan memberi kesukaran kepada penduduk yang sakit dan perlu mendapat rawatan di hospital.

Tambahnya, ia juga memberi kesukaran kepada wanita-wanita mengandung yang perlu dihantar ke hospital.


Sumber: Utusan Malaysia

1 comments:

  1. Harap pihak yg bertabgungjawab dapat selesaikan masalah jalan ini dengan segera.

    ReplyDelete

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...