Pesta Jagung Kota Marudu terus gah
NASI jagung resipi asli dihidangkan dalam Pertandingan Memasak Makanan Berasaskan Jagung.
KOTA MARUDU 8 Jan. – Sudah 10 tahun Perayaan Pesta Jagung Kota Marudu (PPJKM) berlangsung, namun momentumnya tidak pernah berubah, malah terus mendapat sambutan menggalakkan saban tahun.
Pada edisi kali ini, PPJKM yang diadakan di padang Pekan Kota Marudu selama tiga hari bulan lalu menyajikan pelbagai acara yang menggamit pengunjung dari dalam dan luar daerah.
Dengan tema Jagung Untuk Semua, PPJKM telah menyerlahkan keupayaannya sebagai satu acara tahunan yang istimewa dan dimeriahkan dengan menonjolkan pelbagai produk jagung seperti yang di luahkan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili ketika merasmikannya.
“Kita sememangnya mempunyai impian untuk menjadikan jagung sebagai keluaran komersial bagi daerah ini, sama ada ia dibuat secara besar-besaran atau kecil-kecilan. Kita mahu agar jagung Kota Marudu boleh dikenali secara meluas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek, Anita Baranting; Pegawai Daerah Kota Marudu, Luvita Koisun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk PPJKM 2011 dan be berapa tetamu kehormat lain.
Tambah Maximus, dengan penganjuran PPJKM setiap tahun, ia pasti menjadi landasan terbaik untuk memperkenalkan daerah itu sebagai pengeluar jagung utama di Sabah.
“Saya percaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dapat membantu daerah ini dengan menyalurkan maklumat-maklumat terkini berkenaan jagung kepada para petani yang berminat untuk mengusahakannya secara komersial di sini,” katanya.
Pelbagai acara menarik yang mencuri tumpuan diadakan seperti Pertandingan Makan Jagung kategori kanak-kanak dan Pertandingan Memasak Makanan Berasaskan Jagung.
Zaliha Matasin, 35, dan Maimunah Ulang, 25, kedua-duanya dari Kampung Tambun di sini adalah antara peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.
Antara resipi mereka yang menjadi perhatian juri dan pengunjung ialah Pizza Jagung dan Nasi Jagung yang dicipta khas untuk pertandingan itu.
“Biarpun telah 10 tahun PPJKM diadakan, ini merupakan kali pertama kami menyertai pertandingan ini demi memperlihatkan keunikan masakan berasaskan jagung,” kata Zaliha yang berniaga makanan bersama Maimunah di Pasar Malam Kota Marudu.
PELBAGAI aksi dapat dilihat ketika peserta bersaing dalam pertandingan makan jagung.
“Penyertaan bukan sahaja dari daerah ini, malah mereka yang menyertai datangnya dari daerah luar seperti Papar, Kudat dan daerah-daerah lain di Sabah, malahan terdapat juga penyertaan dari Sarawak iaitu dari Daerah Limbang,” katanya.
Acara tersebut terbukti menjadi tumpuan apabila orang ramai enggan berganjak dari tapak pertandingan di tengah-tengah padang pekan Kota Marudu mes kipun hujan lebat sekali-sekala mengiringi pertarungan sengit itu.
Selain pelbagai acara menarik itu, pentas perasmian dan gimik pelancaran turut menarik minat pengunjung yang menyi fatkannya antara yang terbaik sepanjang penganjuran pesta itu berlangsung.
Tenaga pengajar dari GiatMara Kota Marudu, Mohd. Sukardi Lantong, 32, dan Ajian Kairun, 34, serta dua orang rakan setugas lain merupakan ‘orang di belakang tabir’ yang memastikan gimik-gimik berkenaan berlangsung dengan jayanya.
“Kami rasa bertuah kerana sering diberi kepercayaan mengendalikan penyediaan pentas terutamanya gimik pelancaran PPJKM sejak beberapa tahun lalu serta beberapa acara lain termasuk Perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah baru-baru ini,” kata Ajian.
Menurut Mohd. Sukardi, meskipun GiatMara Kota Marudu hanya menawarkan kursus Binaan Bangunan dan Membuat Perabot kepada para pelatih, tetapi atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Pejabat Daerah, mereka sentiasa belajar daripada pengalaman dan berusaha membuat yang terbaik.
“Kami memikul amanah yang diberikan oleh pihak Pejabat Daerah dengan penuh kebanggaan, dan kami mahu PPJKM dikenang oleh para pengunjung kerana pe nyediaan pentas yang baik dan berkualiti,” tambahnya.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda