PESTA JAGUNG KINI JADI CIRI ISTIMEWA KOTA MARUDU
Bernama Media – Sat, Nov 10, 2012
KOTA MARUDU, 10 Nov (Bernama) -- Pesta Jagung, acara tahunan yang kini menjadi ciri istimewa daerah ini sejak 2001, berlangsung dua hari pada tahun ini bermula hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik di sekitar Dewan Komuniti Kota Marudu.
Pesta itu, yang diadakan untuk kali ke-12, adalah bagi menonjolkan jagung sebagai produk penting pertanian di daerah ini selain mempromosi aktiviti pertanian lain yang menyumbang kepada pendapatan petani di Kota Marudu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu, akan melancarkan pesta itu esok.
"Kami mengalu-alukan orang ramai dan pelawat dari jauh dan dekat menghabiskan hujung minggu ini di Kota Marudu untuk Pesta Jagung," kata Ongkili yang memulakan pesta itu sebagai sebahagian daripada kempen 1 Daerah 1 Produk.
Pesta itu turut disokong Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri serta Kementerian Belia dan Sukan negeri dengan aktiviti yang direka untuk penyertaan awam serta mengekalkan aktiviti komuniti tradisional.
-- LAGI
SABAH-PESTA JAGUNG 2 (AKHIR) KOTA MARUDU
Ini termasuk pertandingan memasak hidangan berasaskan jagung, pertunjukan kebudayaan, pertandingan fesyen, Ratu Jagung, melukis dan membaca serta sukan tradisional.
Ongkili juga akan melancarkan Penggerak Inovasi 1Malaysia peringkat Sabah atau "i-CATS" yang merupakan inisiatif sukarelawan muda di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), iaitu penyertaan belia sebagai ejen inovasi penting di kalangan masyarakat di seluruh negara.
Beberapa gerai juga akan mempamer perkhidmatan dan produk yang disertai agensi negeri dan Persekutuan serta sektor swasta.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut mengambil bahagian dalam pameran itu menerusi 10 agensinya; Sirim, CyberSecurity Malaysia, Technology Park Malaysia, .myDomain Registry, Pusat Sains Negara, Jabatan Kimia Malaysia, Nuclear Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia, Agensi Remote Sensing Malaysia dan YIM.
Pada 2009, Pesta Jagung mencatat nama dalam Malaysia Book of Records bagi kejayaan memanggang 5,000 jagung pada satu-satu masa dan pada tahun 2010, satu lagi rekod dicipta untuk aktiviti memakan jagung serentak membabitkan 2010 tongkol jagung.
-- BERNAMA
NT NT SBB
P/s: Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda