KUALA LUMPUR: Cadangan jalan raya pesisir pantai Tuaran-Kota Marudu-Kudat akan membawa transformasi dan pembangunan ekonomi yang besar ke utara Sabah, terutama sekali di dalam industri pelancongan dan perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.
"Banyak manfaat akan dinikmati oleh rakyat di kawasan terbabit di segi akses yang lebih meluas, tempoh perjalanan yang lebih singkat dan peluang pekerjaan, terutama di segi industri pelancongan kerana Kudat juga terletak di penjuru paling ke utara Borneo," katanya.
Rahim, yang juga anggota Parlimen Kudat, berkata cadangan jalan raya pesisir itu akan menjadikan kawasan itu, yang terkenal dengan pantai berpasir keputihan dan air laut yang jernih, mudah dimasuki oleh para pelancong, terutama sekali pelancong asing, yang gemar kepada tarikan pemandangan semula jadi yang terdapat di Sabah.
"Lebih ramai pelancong yang datang bermaksud memerlukan lebih banyak pelaburan di segi penyediaan hotel dan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya, sambil menyatakan ramai pengusaha hotel sudah datang meninjau sekitar Kudat bagi membina hotel empat bintang, malah lima bintang.
Jalan raya Tuaran-Kota Marudu-Kudat baru-baru ini dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau melawat Kudat semasa "Program Janji Ditepati."
Najib juga mencadangkan bahawa satu pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin dibina di Kudat disebabkan daerah itu, yang bersempadankan pulau Palawan di selatan Filipina, adalah pintu masuk sebelah utara ke Sabah.
Rahim berkata, dengan penandatanganan perjanjian keamanan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro, lebih banyak kemajuan ekonomi akan dilihat di wilayah itu di bawah Kawasan Pertumbuhan Asean Timur - Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina.
Beliau juga berkata lapangan terbang di Kota Kinabalu dan Kudat dijangka mendapat manfaat dari peningkatan aktiviti ekonomi dan dasar "Langit Terbuka Asean", yang akan memudahkan persekitaran pasaran bebas bagi penerbangan komersil mulai 2015.
Selain pelancongan, Rahim berkata Kudat akan turut mendapat manfaat dari peningkatan aktiviti eksplorasi minyak di luar pesisir Sabah kerana usaha membangunkan semula telaga minyak marginal bagi mendapatkan rizab minyak dan gas kini sudah berdaya maju berbanding harga minyak dan gas yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, Murphy Oil Corp, kini sedang meneroka rizab minyak dan gas kira-kira 45 batu nautika di luar pesisir Sabah dan ini akan turut memanfaatkan syarikat tempatan yang terlibat di dalam perkhidmatan logistik dan penerbangan serta di dalam pembekalan makanan, katanya.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda