Wednesday, April 17, 2013

Pemilik Restoran rugi RM10,000 setelah lori dipecah masuk

Pemilik restoran rugi RM10,000 setelah lori dipecah masuk
by RUZAINI ZULKIFLI, ruzainiUB@gmail.com. Posted on April 16, 2013, Tuesday

KOTA MARUDU: Seorang pemilik premis makanan terkemuka di sini terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 setelah lori miliknya dipecah masuk sekumpulan penjenayah dalam satu kejadian di Pekan Goshen, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superitendan Mohd Isa Yusof berkata dalam kejadian antara jam 1 dan 6 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun mendakwa telah tertidur dan meletakkan lorinya di perkarangan restoran terbabit.

Bagaimanapun, mangsa terkejut pada paginya sebaik menyedari cermin lori yang diletakkan di perkarangan restoran miliknya dipecahkan selain mendapati barangan yang diletakkan di dalam telah hilang.

“Antara barangan yang telah dilarikan adalah dua beg mengandungi dokumen penting, kupon isian semula dipercayai bernilai RM8,000 serta sejumlah wang RM2,000.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori yang diletakkan mangsa di hadapan restoran terbabit sebelum itu dipecahkan cerminnya oleh suspek sebelum melarikan barang-barang berkenaan.

“Jumlah kerugian mangsa dianggarkan RM10,000,” katanya.

Menurut Mohd Isa, hasil siasatan lanjut pihaknya percaya suspek terdiri daripada lima remaja lelaki yang berusia 12 hingga 15 tahun dan kesemua mereka difahamkan bertindak memecahkan lori cermin lori berkenaan sebelum membuka pintu lalu melarikan barangan berkenaan.

“Polis masih mengesan suspek-suspek yang dipercayai terlibat dengan insiden ini dan kita meminta kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...