Jaminan keselamatan timur Sabah
Oleh NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my
PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu bahawa Operasi Daulat yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu bagi menghapuskan pengganas Kiram akan ditamatkan beberapa hari lagi bukan bererti kerajaan mengabaikan tahap keselamatan penduduk di Pantai Timur Sabah.
Sebaliknya apa yang berlaku adalah satu penambahbaikan dari segi strategi dengan operasi memerangi pengganas secara bersepadu akan diambil alih oleh agensi khas iaitu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Turut akan ditumpukan adalah usaha memulihkan keadaan termasuk membina semula rumah penduduk yang musnah. Ini supaya penduduk merasa lebih selamat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Esscom bertanggungjawab mengawal Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang meliputi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di Pantai Timur Sabah.
Daerah-daerah berkenaan adalah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Menurut Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan, keputusan menamatkan Operasi Daulat tidak bermakna usaha menghapuskan pengganas Kiram berakhir.
Beliau berkata, penamatan Operasi Daulat dibuat kerana objektifnya bersifat terlalu spesifik iaitu menghapuskan pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 5 Mac lalu.
"Boleh dikatakan 99 peratus objektif Operasi Daulat ini telah tercapai dan adalah elok operasi diambil alih Esscom yang mempunyai strategi jangka panjang mengatasi ancaman pengganas.
"Fungsi Esscom juga lebih menyeluruh melibatkan kerjasama polis, tentera dan orang awam dengan empat strategi utama.
"Strategi ini adalah menambah kemampuan dari segi risikan, melakukan pemantauan efektif selama 24 jam, meningkatkan kemampuan untuk bertindak dan memberkas di laut serta menguatkuasakan tindakan sekiranya musuh sampai ke darat," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
Menurut Azmi, beliau yakin Esscom berupaya melaksanakan tugasnya secara lebih berkesan kerana terdapat individu khusus yang mempunyai kuasa menyeluruh untuk membuat keputusan dan bertindak dengan pantas.
"Bagi saya Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek yang telah mula bertugas sejak 1 April lalu boleh disifatkan seperti seorang 'Tsar' yang kalau pada zaman dahulu merujuk kepada individu yang berfungsi memberi nasihat dan menyelaraskan dasar di kawasan tertentu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan permulaan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan Esscom adalah mencukupi tetapi berpendapat jumlah itu perlu ditambah pada masa depan jika terdapat keperluan.
"Boleh dikatakan kebanyakan aset yang diperlukan untuk menguatkuasakan Esszone telah dimiliki oleh polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Ada pihak mencadangkan supaya ditambah penempatan radar di kawasan pantai, tetapi saya berpendapat ia tidak berkesan sepenuhnya kerana pengganas Kiram menceroboh dalam kumpulan kecil dan menggunakan bot yang tidak besar," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan ditingkatkan kemampuan risikan termasuk mempertingkatkan kerjasama pertukaran maklumat dengan perisikan Filipina.
"Mengenai cadangan supaya anggota perisikan kita turut ditempatkan di selatan Filipina, saya berpendapat ini tidak perlu kerana kita sudah mempunyai atase dengan fungsi sama di kedutaan kita di negara itu.
"Lebih baik kita mendapatkan kerjasama perisikan Filipina yang sudah tentu mempunyai ramai pemberi maklumat di selatan negara itu," katanya.
Selain usaha menghapuskan terus semua pengganas Kiram dan tali barut mereka yang terlibat dalam pencerobohan itu, katanya, beliau gembira kerana kerajaan turut memberikan tumpuan untuk membela nasib penduduk dengan pelbagai jenis bantuan telah disalurkan.
"Nampaknya kerajaan serius dalam memulihkan kembali keadaan di Pantai Timur Sabah supaya penduduk dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan keselamatan mereka sentiasa terjamin.
"Ini terbukti apabila 48 jawatan yang diperkenalkan dalam Esscom diluluskan hanya dalam tempoh 24 jam dan operasi agensi ini pun dapat dimulakan dalam tempoh sebulan sahaja selepas ia diumumkan," ujarnya.
Sementara itu, beliau menyambut baik persetujuan kerajaan mewujudkan pingat penghargaan khas yang dinamakan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) bagi menghargai anggota pasukan keselamatan dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat.
"Kerajaan mungkin tidak boleh memberi wang kepada setiap anggota yang terlibat, jadi pingat ini adalah satu bentuk penghargaan kepada mereka yang telah banyak berkorban kepada negara," katanya.
Mengenai keputusan pengurusan Felda menambah kekuatan anggota polis bantuan sehingga 100 orang di Felda Sahabat, katanya, langkah itu akan memastikan keselamatan peneroka dan penduduk sekitar terus terjamin.
"Kerjasama pasukan keselamatan dengan anggota polis bantuan cukup penting dan ini terbukti apabila pencerobohan Kampung Tanduo diketahui hasil maklumat anggota polis bantuan Felda," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda