Ulasan Pesta jagung sinari Kota Marudu 2013
Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN
utusansabah@utusan.com.my
KOTA MARUDU 2 Dis. - Pesta Jagung Kota Marudu memasuki tahun ke-13 penganjurannya baru-baru ini sejak diperkenalkan pada 2001 ekoran keputusan kerajaan negeri memperkenalkan program Satu Daerah Satu Produk.
Menerusi program itu, setiap daerah telah mengenal pasti produk utama mereka dan Kota Marudu memutuskan jagung adalah salah satu hasilnya yang layak dibanggakan oleh penduduk daerah ini.
"Saya melihat ada peningkatan sejak kali pertama pesta ini bermula, ini kerana saya sering mencabar pihak penganjur untuk sentiasa menaik taraf pesta ini setiap kali diadakan.
"Pesta jagung ini perlu dipromosikan secara kreatif dan inovatif supaya terus mendapat sambutan daripada pengunjung dan dalam masa sama para pengunjung mendapat manfaat dan ilmu daripadanya," kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu semasa merasmikan pesta itu, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal negeri, Anita Baranting; Pegawai Daerah Kota Marudu, Luvita Koisun dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah, Datuk Dr. Janathan Kandok.
Penganjuran Pesta Jagung Kota Marudu amat relevan bagi masyarakat daerah ini khususnya dan seluruh negeri amnya.
Apatah lagi kerana daerah ini mempunyai tanah yang luas dan subur serta kebanyakan penduduknya memilih jagung sebagai tanaman sampingan.
Sementara itu, Presiden Kimaragang Malaysia (Kimaragang), Datuk Abd. Latif Kandok berkata, penganjuran pesta tersebut merupakan suntikan semangat kepada para penduduk kampung untuk terus menanamnya kerana hasil jualan jagung sebenarnya amat lumayan.
Selain itu, katanya, jagung boleh dijadikan sebagai salah satu makanan tambahan yang berkhasiat kepada binatang ternakan yang turut diusahakan oleh hampir semua penduduk Kota Marudu yang tinggal di kawasan kampung.
"Sehubungan itu, kerajaan perlu memberi insentif kepada para penanam jagung tidak kira di mana mereka berada supaya lebih giat seterusnya menjadikan daerah ini sebagai pengeluar utama tanaman ini," katanya.
Dalam pada itu, Abd. Latif turut menggesa kerajaan mengkaji kemungkinan membina sebuah pelabuhan di Teluk Marudu untuk merancakkan ekonomi negeri ini khususnya Kota Marudu dan daerah berdekatan yang berpotensi untuk dibangunkan.
"Seandainya tanah Kota Marudu ditanam jagung, kita mampu menjadi salah satu pengeksport jagung utama dunia. Bayangkan betapa mudahnya mengangkut produk tersebut ke luar negara dengan adanya pelabuhan itu kelak," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda