Thursday, March 20, 2014

Kota Marudu: Ibu bapa gesa bina bangunan SMK Langkon disegerakan


Ibu bapa gesa bina bangunan SMK Langkon disegerakan 
 
14th March, 2014 KOTA KINABALU: Sekumpulan mewakili ibubapa di kawasan Langkon, Kota Marudu (kira-kira 10 kilometer dari Pekan Kota Marudu dan 140 kilometer dari Kota Kinabalu) mendesak pihak berkaitan menyegerakan pembinaan bangunan untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

Bercakap bagi pihak ibubapa pelajar sekolah menengah berkenaan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Langkon Ronney G. Sigoh, berkata pembinaan bangunan sekolah sepatutnya sudah bermula apabila pemilikan tapak tanah untuk tujuan itu sudahpun diwartakan pada Mac tahun lalu menurut papan tanda yang didirikan dan dijangka siap pada Mac 2015.

Malah jelas beliau, upacara pecah tanah telahpun dilaksanakan oleh Ahli Parlimen Kota Marudu yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Mei tahun lalu.

Ronney memberitahu, pengumunan untuk pembinaan bangunan sendiri SMK Langkon telah diumumkan buat pertama kali pada tahun 2009 seterusnya disebut sekali lagi pada Mei 2013 semasa upacara pecah tanah berlangsung.

“Pengumuman itu memberi harapan besar kepada penduduk khususnya di kawasan Langkon yang semakin bertambah di samping pembangunan lain seperti bangunan-bangunan baharu termasuk premis perniagaan dan hotel.

“Bagaimanapun, masa berlalu tanpa sebarang tindakan kelihatan menggusarkan penduduk terutama ibu bapa di sini lebih-lebih lagi dengan pelbagai desas-desus kedengaran mengenai pembinaan bangunan SMK Langkon berkemungkinan dibatalkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berwajib termasuk kementerian dan jabatan serta agensi berkaitan memberi komitmen terhadap pelaksanaan projik bermanfaat berkenaan.

Selanjutnya beliau berharap semua permasalahan berhubung pembinaan bangunan sekolah itu diselesaikan tanpa menjejaskan masa depan generasi muda di kawasan terbabit.

Tegas beliau, keperluan memiliki bangunan sendiri amat penting bagi menampung pelajar sekolah menengah di sana yang sekarang ini menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon.

“Sebelum ini pelajar sekolah menengah berjumlah hampir 800 orang menggunakan kelas secara bergilir dengan pelajar sekolah rendah bagaimanapun, disebabkan kelas itu sekarang digunakan untuk pelajar sekolah rendah bagi pembelarajan sesi petang, sebahagian pelajar menengah terpaksa menggunakan dewan terbuka sekolah rendah itu.

“Keadaan ini amat menyedihkan dan menggangu sesi pembelajaran serta pengajaran bagi pelajar menengah sedangkan potensi untuk mencapai kejayaan lebih tinggi diyakini dapat terus ditingkatkan sekiranya keadaan lebih selesa,” kata beliau.

Ketidak selesaan itu juga menurut Ronney mengakibatkan sesetengah ibubapa terpaksa bertindak memindahkan anak mereka belajar di beberapa sekolah menengah yang jaraknya lebih 50 kilometer demi menjamin pendidikan tidak terjejas.

“PIBG SMK Langkon mahu pihak berkaitan bertanggungjawab untuk merealisasikan harapan ibu bapa di sini demi penyediaan infrastruktur pembelajaran kondusif serta sempurna kepada pelajar di sini sebagaimana diterima pelajar sekolah lain,” tegas beliau.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...