Friday, August 29, 2014

Sumber marin dan pantai Teluk Marudu yang semakin berkurangan perlu perhatian




Sumber marin dan pantai Teluk Marudu yang semakin berkurangan perlu perhatian

24th August, 2014 KOTA KINABALU: Sumber marin dan pantai yang semakin berkurangan di Teluk Marudu memerlukan perhatian segera untuk mengatasinya, kata Datuk Dr Beth Baikan, Timbalan Ketua Pasukan Pengurusan Sumber Marin & Pantai Segitiga Karang: Projek Asia Tenggara.
Beliau berkata, perhatian dan tindakan segera amat diperlukan apabila melihat kemerosotan tangkapan ikan dari bagang dan kejatuhan industri kupang yang sebelum ini memberikan punca pendapatan kepada masyarakat tempatan.
Teluk Marudu adalah sebahagian daripada cadangan Taman Tun Mustapha, sebuah projek yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada 2003. Dengan keluasan melebihi 800,000 hektar, cadangan Taman Tun Mustapha meliputi Teluk Marudu yang kaya dengan sumber dan perairan di sekeliling Pulau Balambangan, Banggi dan Maliangin.
Teluk itu menjadi tumpuan kepada aplikasi Pengurusan Zon Pantai Bersepadu (ICZM), satu kerangka pengurusan zon pantai bagi memastikan penggunaan sumber yang mampan dan diharap dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun bagi tujuan pelaksanaan, katanya.
“Kami berharap untuk melengkapi kerja atau inisiatif yang dilakukan oleh agensi negeri dan penyelidik, jadi kami tidak mahu melakukan kerja yang sudah dilakukan pihak lain sebelum ini,” kata Dr Baikan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Projek itu adalah di bawah program Bantuan Teknikal Serantau Bank Pembangunan Asia dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) Kebangsaan mengenai Terumbu Karang, Perikanan dan Keselamatan Makanan, Malaysia.
Dr Baikan telah memberikan gambaran keseluruhan mengenai projek itu dalam konteks melaksanakan ICZM di Teluk Marudu pada satu mesyuarat permulaan di Kudat Golf and Marina Resort di Kudat baru-baru ini yang dihadiri 50 pegawai daripada kementerian, jabatan dan agensi di Sabah.
“ICZM adalah relevan jika kita ingin memastikan keselamatan makanan di Sabah dalam jangka masa panjang, kata Dr Baikan yang terlibat dalam usaha awal untuk mengadakan rangka tindakan pengurusan pantai negeri secara menyeluruh.
Turut berkongsi pandangan Dr Baikan ialah Prof Datuk Nor Aieni Moktar, yang sering melawat Teluk Marudu semasa beliau bertugas sebagai Pengarah Direktorat Oseanografi Kebangsaan.
Beliau berkata ICZM adalah suatu proses yang dinamik untuk pengurusan dan kegunaan zon pantai yang mampan.
“Konsep (ICZM) mengambil kira kerapuhan ekosistem dan landskap, kepelbagaian aktiviti dan penggunaan, interaksi antara mereka, orientasi maritim ke atas aktiviti-aktiviti tertentu dan kesannya terhadap bahagian laut dan daratan.
Punca pendapatan masyarakat setempat akan dapat ditingkatkan menerusi pengurusan sumber pantai yang mampan,” kata Prof Aieni yang kini menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia.
Beliau yakin terdapat cukup sumber alam di Teluk Marudu untuk dipulihara, dibangunkan dan dipakejkan menjadi produk eko-pelancongan yang menarik dan mampu memberikan impak ketara kepada pendapatan masyarakat setempat.
Teluk Marudu mengandungi hutan bakau, monyet Belanda, 53 spesies burung dan kelip-kelip yang boleh dipakejkan menjadi produk eko-pelancongan menarik.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...