Friday, February 6, 2015

76 mangsa banjir di Kota Marudu dipindahkan



76 mangsa banjir di Kota Marudu dipindahkan

05 Februari 2015



KOTA MARUDU 4 Feb. –Dua kampung dan laluan di Jalan Kota Belud-Kota Marudu di sini terputus hubungan selepas dinaiki air akibat hujan lebat semalam.


Setakat pukul 5.30 petang semalam, seramai 76 mangsa daripada 25 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Isa Yusuf berkata, dua kampung yang terjejas ialah Kampung Pancur dan Kampung Popok Laut.


Jelas beliau, pihaknya sedang menjalankan pemantauan di kawasan-kawasan terbabit bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Buat masa ini tiada sebarang insiden dilaporkan dan orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati serta patuh kepada arahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Setakat ini, bacaan paras air di dua sungai di Kota Marudu berada pada paras bahaya iaitu di Sungai Bandau (lima meter) dan Sungai Bongon (8.1 meter).

Dalam pada itu, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) telah mengaktifkan bilik gerakan banjir bagi memantau situasi keadaan banjir di daerah Kota Marudu.

SESB dalam satu kenyataan berkata, pemantauan yang dibuat di beberapa kawasan di Kota Marudu mendapati paras air telah meningkat dan mula memasuki kawasan pencawang elektrik (substation) milik SESB.

“Pihak SESB akan terus memantau situasi keadaan banjir itu dan akan mengambil langkah ke­selamatan terbaik agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Pengguna digalakkan meng­hubungi talian Hotline SESB di 15454 dan 088-615000 sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik supaya tindakan segera dapat diambil,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...