SESB aktifkan bilik gerakan banjir di Kota Marudu
KOTA KINABALU 4 Feb.– Kejadian banjir yang sering berlaku Kota Marudu mendorong Sabah Electricity Sdn. Bhd., (SESB) mengambil langkah mengaktifkan bilik gerakan banjir bagi memantau situasi sekiranya bencana itu berlaku di daerah tersebut.
SESB dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, menerusi pendekatan tersebut membolehkan syarikat utiliti itu melakukan proses pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti sering dinaiki air.
Kata kenyataan itu, hasil pemantauan yang dibuat di beberapa kawasan di Kota Marudu mendapati paras air telah meningkat dan mula memasuki kawasan pencawang elektrik milik SESB.
Menurut kenyataan itu, atas faktor keselamatan pengguna dan anggota kerja SESB yang bertugas, penutupan sementara bekalan telah dilakukan di beberapa kawasan di Kampung Popok Darat dan Kampung Popok Laut bermula kelmarin.
“Sehingga petang semalam, hanya dua pencawang elektrik yang belum dapat disalurkan bekalan elektrik.
“Sehubungan itu, pihak SESB akan terus memantau situasi air naik tersebut serta memaklumkan perkembangan terkini, malah akan mengambil langkah keselamatan terbaik agar tidak berlaku kejadian tidak diingini,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pengguna digalakkan untuk menghubungi talian Hotline SESB di 15454 dan 088-615000 sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik supaya tindakan segera dapat diambil.
Sehubungan itu kata kenyataan tersebut, SESB sangat menghargai kerjasama daripada orang ramai berhubung situasi yang dihadapi ketika ini.
Sumber: Utusan Malaysia.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda