Thursday, December 20, 2012

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

Jamil Jaafar menunjukkan kad bantuan Jabatan Kebajikan di rumahnya di Kampung Ranau, Kota Marudu.
 
KOTA MARUDU 17 Dis. - Seorang cacat penglihatan, Jamil Jaafar, 61, berseloroh dengan isterinya, Kasmah Tunggang, ketika wajahnya dirakamkan kamera: "Mah, cuba lihat ke sini, tampan tak wajah suamimu ini?"

Sambil membawa dulang berisi tiga cawan kosong dan satu jag kopi panas untuk tetamu, isterinya yang berumur 50 tahun itu hanya tergelak tanpa memperlihatkan kedaifan hidup keluarga yang ditanggungnya sejak suaminya itu kehilangan penglihatan kira-kira 20 tahun yang lalu.

Pasangan yang mempunyai sembilan anak ini adalah contoh biasa bagi kemiskinan yang begitu mekar subur di Kampung Popok Laut, sebuah kampung yang tersorok jauh daripada pembangunan dan berkeluasan 23 kilometer persegi.

Jamil kehilangan penglihatan apabila jatuh sakit sekembalinya dari kerja menugal untuk menanam padi huma di Kampung Ranau di sini.

Menurut Jamil, rumah yang mereka duduki sekarang merupakan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang pertama pada tahun 1992 yang hanya berukuran kira-kira 3 meter x 7 meter dan disambung dengan kayu buangan yang dipungut oleh isterinya.

"Ibu jari tangan saya sudah kehilangan 'pusarnya' kerana terlalu banyak menurunkan cap jari untuk memohon rumah PPRT, tetapi malangnya semua permohonan tetap gagal, " ujarnya sinis disulami ketawa ramah.

Menceritakan lagi keadaan rumahnya, Jamil memberitahu bahawa setiap kali hujan, dua orang anaknya yang berumur tujuh tahun terus mengambil besen di dapur untuk menadah hujan yang tiris dari bumbung rumah yang bocor, seperti juga keadaan keluarga lain di rumah usang masing-masing.

Begitu pun, Jamil yang juga penghidap darah tinggi dan asma sebenarnya adalah penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Kota Marudu sebanyak RM245 sebulan.

"Tetapi saya tidak tahu mengapa bulan ini bantuan saya dipotong sebanyak RM20 menjadikan duit yang saya terima hanya RM220. Sedangkan menurut rakan-rakan di luar, bantuan yang sepatutnya diterima ialah RM300 sebulan," keluhnya.

Bagi Kasmah pula, kemelaratan keluarganya itu telah menyebabkannya bekerja di kebun sawit, menjadi buruh serta turut berniaga kecil-kecilan membuat roti dan kuih bagi dijual di keliling kampung.

Pendapatan sebagai penjual roti dan kuih tidak menentu tetapi ada waktunya mencecah sehingga RM30 sehari.

"Saya tidak membuat kuih setiap hari kerana faham kedudukan ekonomi para penduduk lain hampir sama dengan kami, ertinya kuasa beli mereka adalah jauh daripada yang diharapkan," ujar Kasmah.

Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...