30 belia ikuti kursus tajaan Petronas
KOTA MARUDU 27 Feb. - Sebanyak 30 belia dari daerah ini berpeluang membina kerjaya bersama Petronas apabila mereka dipilih mengikuti kursus kimpalan dan pendawaian elektrik tajaan syarikat milik kerajaan itu.Kursus selama enam bulan itu yang diadakan di bangunan KYS, Likas dekat sini, ditanggung sepenuhnya Petronas dengan nilai tajaan sebanyak RM40,000 bagi setiap penuntut.
Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia (Kimaragang), Datuk Abdul Latiff Kandok mengingatkan para peserta yang terpilih supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang jarang diperoleh itu demi masa depan mereka.
"Untuk berjaya, jangan mencari alasan kerana mereka yang beralasan biasanya menemui kegagalan, sepatutnya fokuskan kepada apa yang mahu anda capai dan impikan," katanya dalam Program Kerjaya Belia anjuran Kimaragang bersama Pemuda UMNO cawangan Kampung Bombong 1, di sini hari ini.
Tambah Abdul Latiff, kerajaan hari ini begitu prihatin terhadap golongan belia sehingga sanggup membelanjakan jutaan ringgit demi memastikan golongan tersebut tidak terpinggir daripada arus kemajuan.
Sementara itu, seorang belia yang menyertai kursus tersebut, Filosa anak Bedindang, 21, meluahkan kegembiraannya kerana terpilih menyertai kursus berkenaan.
"Saya tidak menyangka akan terpilih untuk mengikuti kursus yang amat bermakna buat saya ini, kerana bekerja dengan Petronas merupakan peluang pekerjaan yang diidam-idamkan para belia," ujarnya.
Pengambilan pelatih untuk mengikuti kursus kemahiran tersebut adalah inisiatif Kimaragang dan Pemuda UMNO Bombong 1 dalam membela nasib belia menganggur di daerah itu.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda