Wednesday, February 27, 2013

Kes Buang Bayi di Kota Marudu

Terkejut jumpa bayi ketika hendak buang air kecil

26 Feb 2013
KOTA MARUDU: Tanda tanya mengenai tangisan bayi yang kedengaran di sebuah ladang kelapa sawit di belakang bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini, akhirnya terjawab dengan penemuan seorang bayi perempuan oleh sepasang suami isteri, petang Ahad lalu.


Bayi yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu dikatakan ditemui pasangan itu yang secara kebetulan berada di tempat berkenaan sekitar jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superitendan Mohd Isa Yusof, berkata pasangan suami isteri terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan ke rumah rakan mereka dan melalui lokasi itu.

“Ketika si suami berhenti untuk membuang air kecil, mereka terkejut mendengar tangisan bayi di kawasan berkenaan. Mereka kemudian bergegas ke balai polis berdekatan dan melaporkan kejadian itu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota kemudian dikerahkan ke lokasi dan menemui bayi itu yang dalam keadaan tertiarap, namun didapati masih hidup dan bertali pusat,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati bayi berkenaan dilahirkan pada hari sama berikutan terdapat kesan darah pada anggota badan selain urinya masih lembab.

Mohd Isa berkata bayi itu sudah dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi IPD Kota Marudu di talian 088-622449 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulkairi, 012-8344368,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Sumber: Utusan Borneo

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...