Monday, February 18, 2013

RM8.5j untuk petani Kota Marudu

RM8.5j untuk petani Kota Marudu

Maximus Ongkili (dua dari kanan) meninjau sebuah gerai di Tamu Kota Marudu, Sabah, semalam. 
 
KOTA MARUDU 15 Feb. - Sebanyak 19,752 petani di daerah ini menerima peruntukan RM8.5 juta daripada Kerajaan Pusat dalam bentuk insentif, termasuklah penerima ulangan di bawah pelbagai skim untuk meningkatkan hasil pertanian.

Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, insentif diberikan untuk membantu daerah itu menjadi salah satu pusat utama pertanian di negeri ini.

"Insentif yang diberikan itu melibatkan Skim Insentif Pengeluaran Padi (Input Pertanian), Dasar Makanan Kebangsaan dan Skim Insentif Pengeluaran Padi yang disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

"Insentif tahunan itu adalah dalam bentuk baja dan bahan kimia kawalan rumpai perosak dan penyakit untuk penanaman padi," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Tamu Peladang Kota Marudu di Pekan Tandek di sini hari ini.

Maximus yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, insentif yang diberikan diharap dapat membangunkan lagi sektor pertanian sebagai penyumbang utama bagi ekonomi penduduk di daerah itu.

Katanya, pengagihan insentif itu merupakan sebahagian usaha transformasi kerajaan untuk mengeluarkan golongan berpendapatan rendah daripada garis kemiskinan menjelang 2015.
Beliau menambah, terdapat 7,000 petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian negeri di daerah ini.

Mengenai program Tamu Peladang, Maximus berkata, ini akan memberikan lebih banyak ruang bagi petani untuk menjual produk pertanian dan makanan mereka.

"Oleh itu, saya menggesa petani agar lebih inovatif dalam meningkatkan hasil pertanian termasuk menggunakan teknologi dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan kerana dengan cara ini mereka boleh meraih pendapatan lebih banyak," ujarnya.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa transformasi dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membantu penduduk luar bandar menikmati kehidupan lebih baik.

Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...