Kota Marudu: Koperasi GiatMara Sabah tabur bakti kepada penduduk
KOTA MARUDU 11 Sept. - Tidak ramai yang mengetahui kewujudan Koperasi GiatMara Sabah Berhad yang ditubuhkan sejak 2011 dan dianggotai 596 ahli serta mempunyai sembilan orang ahli lembaga tertinggi.
Koperasi ini sering terlibat dalam kerja amal dan terbaru mereka memberikan sumbangan dalam menjayakan Kursus Penghayatan Islam dan Merdeka Raya peringkat Daerah Kota Marudu anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
Setiausahanya, Noornah Majudin, 37, menjelaskan, koperasi tersebut ingin dikenali sebagai koperasi yang prihatin terhadap keperluan masyarakat terutamanya dalam soal pengembangan agama Islam.
"Apabila mengetahui tentang kursus ini bakal diadakan, tanpa berlengah lagi pihak pengurusan menawarkan sumbangan dan kami gembira kerana usaha itu dihargai oleh pihak penganjur," katanya.
Menurutnya, pihak mereka boleh mempertimbangkan sebarang permohonan untuk sumbangan sekiranya mengikut prosedur ditentukan.
Dalam pada itu, pembimbing tetap kelas agama dewasa Surau Al-Ikhwan yang merupakan Imam Kariah Tandek, Alung Jasmin menyifatkan, semua saudara baharu di Kampung Togudon amat meminati kuliah agama yang diadakannya di situ pada setiap hujung minggu.
Justeru katanya, dia telah dipujuk oleh para saudara baharu di situ untuk terus mengajar mereka tentang Islam, sehingga memaksanya menukar jadual pengajian yang diikutinya di sebuah universiti di Kota Kinabalu.
"Cuma malangnya di sini, surau Al-Ikhwan amat daif dan perlu diperbaiki segera demi kesucian Islam atau sekurang-kurangnya biarlah setara dengan rumah ibadat lain di sekitar daerah ini," keluhnya.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda