KOTA MARUDU, 6 Sept (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) sedang mengambil
langkah-langkah untuk memberi nafas baharu kepada parti itu selaras denganpenjenamaan Barisan Nasional (BN) bagi memenuhi citarasa dan keperluan rakyat.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata PBS sedang
memberi perhatian kepada apa yang perlu dilakukan untuk memperkukuhkan jentera
parti serta mengambil tindakan wajar untuk mengambil dan melatih
pemimpin-pemimpin baharu.
"Satu proses penyusunan semula bahagian-bahagian parti juga akan
dilaksanakan untuk memastikan setiap bahagian kukuh dan mantap serta merasai
denyut nadi di peringkat akar umbi," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung
tahunan PBS Bahagian Matunggong di sini hari ini.
"Bahagian-bahagian mesti diketuai oleh pemimpin berkebolehan yang boleh
mengenal pasti isu yang menjadi kebimbangan rakyat dan menangani masalah dengan
berkesan sebelum pembangkang memainkan sentimen rakyat untuk kepentingan
politik," katanya.
Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata BN masih
kuat di Matunggong walaupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu
dirampas oleh pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei, lepas.
Kami masih bertanggungjawab di Matunggong kerana hanya BN dapat memenuhi
keperluan rakyat di sini. Pembangkang mungkin telah menang dengan mengusik emosi
pengundi di sini tetapi itu sahaja yang mereka boleh lakukan.
"Pada akhirnya, rakyat memerlukan hasil," kata Ongkili, yang juga Ahli
Parlimen Kota Marudu.
"Sebab itu, BN tidak dipinggirkan oleh penduduk Matunggong yang masih
memerlukan pembangunan. Mereka kini sedar pembangkang tidak dapat melakukan
apa-apa dan tiada pembangunan," katanya.
Ongkili meminta rakyat di kawasan itu supaya bersatu semula dan berdiri
teguh di belakang BN.
"Sokongan rakyat kepada kerajaan adalah penting bagi membolehkan kita semua
mencapai masa depan yang lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
NT NT DC
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda