Wednesday, September 18, 2013

Kota Marudu: Merdeka Raya Kg. Togudon unik


Hadirin mendengar ceramah dalam majlis penutupan Kursus Penghayatan Islam dan Sambutan Merdeka Raya peringkat daerah di pekarangan Surau Al-Ikhwan Togudon, Kota Marudu, Sabah, baru-baru ini.


KOTA MARUDU 11 Sept. - Paluan gong muzik Pinakang kedengaran pada pagi hari kemerdekaan itu, kemudian kelihatan konvoi kereta yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang menyelusuri Sungai Tangkurango lalu melintasi dua buah kanopi yang dipenuhi hadirin.
Majlis itu ialah Kursus Penghayatan Islam dan Merdeka Raya peringkat daerah diadakan di sebelah Surau Al-Ikhwan, sebuah surau yang dikira uzur pada pandangan mata orang luar, namun dianggap masih 'sempurna' lagi bagi saudara baharu Kampung Togudon.
Kelihatan Ustaz Ahmad Dhani Omar Ali sedang memberikan ceramah bertajuk Keindahan Islam di hadapan kira-kira 70 peserta yang kebanyakannya saudara baharu dari perkampungan sekitar Kota Marudu.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah, Datuk Abdul Latif Kandok.
Jelasnya, salah satu keindahan Islam ialah sifat sederhananya dan menganggap semua insan seagamanya adalah saudara, bahkan semua manusia di atas muka bumi ini adalah saudaranya.
"Keindahan Islam tergambar dalam semua sudut kehidupan di dunia, namun terpulang kepada penghayatan sifat syukur kepada nikmat Ilahi yang perlu dipupuk setiap masa di dalam diri,'' katanya.
Sesekali hadirin tertawa kerana Ahmad Dhani menyampaikan ceramah secara bersahaja dan diselang-seli dengan bahasa Kimaragang yang fasih, seraya mengambil kisah-kisah nyata sebagai ramuannya untuk keberkesanan ceramahnya.
"Setiap kali ada acara sebegini, saya pasti akan menghadirinya kerana amat bermanfaat dalam mendalami ilmu agama," kata Mastun Amit, 39, nelayan dari Kampung Rasak Laut, di sini.
Mastun yang merupakan pelajar dari Pondok Al-Rahmah, Kampung Sayapon memberitahu, acara-acara sebegitu perlu diadakan setiap masa demi memantapkan pengetahuan dan keimanan peserta.
Katanya, jika acara sedemikian diadakan lagi pada masa hadapan, pihak penganjur perlu menambahkan masa supaya memberi peluang kepada peserta mengemukakan masalah dalam agama.
Sementara itu, penasihat Surau Al-Ikhwan, Japlin Asrakal menyatakan rasa syukurnya kerana majlis yang diadakan di kawasan surau tersebut berjaya dilangsungkan dengan penyertaan yang amat menggalakkan.
"Meskipun hanya 70 orang daripada 100 orang yang dijangka hadir, ini amat bermakna kerana semua yang datang ini benar-benar memanfaatkan peluang dengan tanya jawab yang bernas," jelasnya.
Japlin yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Bombong 1 menegaskan, kemerdekaan negara yang dikecapi sekarang perlu diberi pengisian lebih bermanfaat.
"Tiada salahnya dalam kehidupan kita yang bebas merdeka ini untuk sentiasa membuat amal kebaikan demi kesejahteraan dunia amnya dan agama khasnya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...