Friday, May 2, 2014

Kota Marudu Kaamatan 2014 : Hayati semangat Pesta Ka’amatan - Musa


Hayati semangat Pesta Ka’amatan - Musa

MUSA Aman (tengah) diiringi Joseph Pairin Kitingan (tiga dari kanan) semasa menghadiri perasmian majlis Pelancaran Pesta Ka’amatan Peringkat Negeri Sabah 2014 di Kota Marudu, semalam. - Utusan/Azrul Edham Mohd Aminuddin
 
KOTA MARUDU 1 Mei - Penghayatan semangat perayaan Pesta Ka’amatan diharap dapat diamati sepenuhnya oleh penduduk negeri ini bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini dapat dikekalkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, sikap saling menghormati dan menjaga sensitiviti setiap kaum merupakan formula kejayaan Sabah sebagai sebuah negeri aman makmur biarpun dihuni lebih daripada 30 etnik yang mempunyai pelbagai kepercayaan masing-masing.

"Bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu barisan kepimpinan negeri, kerajaan negeri bersetuju melakukan proses penggiliran kepada daerah-daerah di negeri ini bagi menganjurkan sambutan perayaan Pesta Ka’amatan ini.

"Bukan sahaja dapat membuka ruang kepada pemimpin beramah mesra dengan orang ramai dalam pesta perayaan ini, ia juga mampu memeriahkan sambutan perayaan yang penting di negeri ini pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran Pesta Ka’amatan Peringkat Negeri Sabah 2014 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Huguan Siou yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Kira-kira separuh anggota Kabinet Negeri yang terdiri daripada Menteri dan Pembantu Menteri negeri hadir dalam majlis pelancaran tersebut.

Mengulas lanjut, Musa berkata, sambutan perayaan Pesta Ka’amatan dalam tempoh sebulan di peringkat daerah akan merancakkan semangat perpaduan dalam kala­ngan rakyat negeri ini.

Tambahnya, bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat berbilang kaum beramah mesra dalam satu majlis besar di pe­ringkat daerah, perayaan itu juga mampu meningkatkan sektor pelancongan Sabah.

Katanya, keunikan dalam setiap sambutan di peringkat daerah akan memberi peluang kepada pelancong dari dalam dan luar negara merasai kehangatan sambutan perayaan tersebut.

Menurutnya, bukan sahaja aktiviti kebudayaan, pelbagai program menarik bakal menjadi taruhan penganjuran Pesta Ka’amatan di peringkat daerah termasuk pertandingan Unduk Ngadau.

"Semua ini hanya mampu dilaksanakan hasil daripada kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri ini dengan baik. Bukan sahaja pelbagai aktiviti pe­rayaan dan program lain berlangsung dengan meriah, pembangunan di setiap daerah di negeri ini juga sangat membanggakan," katanya.

Sumber: Terima Kasih kepada © Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...