Friday, August 30, 2013

Isu Pilihanraya: CALON PKR KOTA MARUDU DAKWA DAPAT JUMLAH UNDI TERTINGGI


KOTA KINABALU, 26 Ogos (Bernama) -- Datuk Maijol Mahap, calon PKR bagi
kerusi Parlimen Kota Marudu membuat dakwaan di Mahkamah Pilihan Raya di sini
hari ini bahawa beliau memperoleh jumlah undi tertinggi pada pilihan raya umum 5
Mei lepas.

Katanya beliau mengetahui perkara itu selepas berpeluang melihat salinan
ikatan dokumen pihak responden yang diperoleh peguamnya selepas memfailkan
petisyen pilihan raya.

"Saya tidak berpeluang untuk mengesahkan perkara itu (jumlah undi tertinggi)
kerana saya tidak memiliki Borang 14 (penyata yang merekodkan jumlah undi yang
diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak dan keputusan akhir yang
diwartakan).

"Sebaik saya melihatnya (ikatan dokumen) ia menunjukkan saya memperoleh
bilangan undi tertinggi. Tetapi malam itu (apabila kertas undi dikira
dan dijadualkan) di Dewan Masyarakat Kota Marudu (pusat pengundian) saya tidak
mempunyai maklumat ini," kataya.

Beliau juga mendakwa ejen pilihan raya PKR tidak dapat menyaksikan pengiraan
undi kerana pegawai pengurus pilihan raya menghalangnya.

Dalam petisyen itu, Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu
sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai
responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 13 Ogos lepas, Hakim Datuk Yew Jen Kee memutuskan supaya dakwaan amalan
rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, tetapi Ongkili kekal
sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan.

Dalam petisyen itu, antara lain, Mahap mendakwa Borang 14, yang merekodkan
jumlah undi yang diperoleh setiap calon serta bilangan undi rosak, tidak diberi
kepada ejen pilihan raya PKR.

Ongkili, yang mewakili Barisan Nasional (BN), memenangi kerusi itu dengan
majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat
penjuru manakala Mahap meraih 14,326 undi, calon Star Majamis Timbong (2,228
undi) dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi.

-- BERNAMA
NAB GR KLS NH

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...