Friday, August 30, 2013

Isu Pilihanraya: KTM SEDIA BORANG 14 DAN SERAH KEPADA SETIAP EJEN UNTUK TANDATANGAN


KOTA KINABALU, 29 Ogos (Bernama) -- Ejen Barisan Nasional (BN) bagi kawasan
Parlimen Kota Marudu, Jamandul Mogirun memberitahu Mahkamah Pilihan Raya hari
ini bahawa Ketua Tempat Mengundi (KTM) telah menyediakan Borang 14 dan
menyerahkan borang itu kepada setiap ejen untuk ditandatangani.

Jamandul, 33, yang bertugas di Saluran 1 Sekolah Kebangsaan Indrason Laut
Kudat berkata beliau sendiri telah menyemak kandungan Borang 14 itu dan setelah
berpuas hati, beliau menandatanganinya.

Beliau berkata KTM juga menandatangani borang itu yang ada dalam simpanan
beliau (Jamandul) sekarang.

Jamandul mendakwa KTM ada bertanya kepada mereka tentang apa-apa bantahan,
namun tiada bantahan dibuat oleh mana-mana ejen.

Beliau memberi keterangan pada hari kelapan prosiding petisyen pilihan raya,
yang difail calon PKR Datuk Maijol Mahap bagi kawasan Parlimen Kota Marudu, yang
dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Yew Jen Kee.

Seorang lagi ejen BN, Tam Tian Man yang bertugas di Saluran 3 Sekolah
Kebangsaan Matunggong berkata beliau tidak menandatangani Borang 14 itu yang
disediakan untuknya kerana berpuas hati dengan jumlah undi yang diperoleh setiap
calon.

"Setelah undi selesai dikira, ketua tempat mengundi memaklumkan jumlah
undi yang diperoleh setiap calon. Saya telah mencatat jumlah undi seperti mana
yang dimaklumkan KTM di atas Borang 14 bagi DUN (N.04) Matunggong.
Oleh kerana saya telah peroleh jumlah undi bagi setiap calon, saya telah
balik dan tidak menandatangani Borang 14 itu," katanya.

Ejen berusia 47 tahun itu berkata beliau berada di pusat mengira undi
sehingga selesai perjalanan proses berkenaan dan tidak mengetahui jika ejen PKR
tidak menerima Borang 14.

Tam berkata: "(Borang 14) bukan tidak diberi tetapi selepas proses pengiraan
kertas (undi selesai), kami sudah mengetahui keputusan pengiraan tersebut jadi
tiada komen antara parti-parti lain yang ada di situ.

Dua lagi ejen BN, Johani Sovoli, 40, yang bertugas di Saluran 1 Sekolah
Kebangsaan Matunggong dan Sawad Gampong, 41, ditugaskan di Saluran 1 Dewan
Serbaguna Tegaroh.

Mereka mendakwa semua ejen tidak membangkitkan bantahan termasuk jumlah undi
yang diperoleh setiap calon.

Dalam petisyen itu, Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu,
sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai
responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Bagaimanapun, pada 13 Ogos lepas, Yew memutuskan dakwaan amalan rasuah
terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, namun menteri berkenaan kekal
sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan.

Dalam petisyen itu, antara lain, Mahap mendakwa Borang 14, yang merekodkan
jumlah undi yang diperoleh setiap calon serta bilangan undi rosak, tidak diberi
kepada ejen pilihan raya PKR.

Ongkili, yang mewakili BN, memenangi kerusi itu dengan majoriti 842 undi
selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Mahap
meraih 14,326 undi, calon Star Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau alias
Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi manakala sebanyak 911 undi ditolak.
Ongkili hadir pada prosiding hari ini. Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA
SZA KLS RH

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...