Friday, August 30, 2013

Kota Marudu: KG MAGANDAI TERUS NIKMATI PEMBANGUNAN DI BAWAH BN - ONGKILI



KOTA MARUDU, 27 Ogos (Bernama) -- Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata adalah satu tugas mencabar bagi membawa
pembangunan ke kawasan pedalaman yang sukar diakses tetapi rakyat boleh maju
melalui bantuan dan usaha kerajaan, masyarakat itu sendiri dan badan bukan
kerajaan (NGO) yang penyayang.

Ongkili yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu berkata kawasan pedalaman
seperti Kampung Magandai dan perkampungan sekitar telah lama menikmati kemudahan
hasil program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata sebuah sekolah asas pertama dibina di kampung itu dengan
kerjasama Persatuan Wartawan Sabah pada pertengahan 1990-an dan sejak itu
kemudahan pendidikan telah diperluaskan termasuk menyediakan sebuah asrama.
Beberapa NGO juga melaksanakan projek kemasyarakatan di kawasan itu bagi
menyediakan kemudahan asas yang begitu dihargai penduduk, katanya.

“Ia sentiasa satu cabaran bagi memenuhi keperluan pembangunan penduduk luar
bandar yang tinggal di kawasan pedalaman memandangkan kampung atau rumah mereka
juga jauh antara satu dengan yang lain.



“Tetapi selaras dengan matlamat transformasi yang inklusif, Barisan Nasional
akan terus berusaha memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dan
kemajuan mereka akan terus dipertingkatkan. Hanya Barisan Nasional mampu
mengubah nasib penduduk luar bandar,” katanya dalam majlis bersama rakyat di
sini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek Anita Baranting.
Ongkili berkata lebih banyak kemudahan akan dibawa untuk Kampung Magandai
tidak lama lagi termasuk meningkatkan jalan balak menjadi jalan bagi semua
musim.

"Ini merupakan keutamaan pembangunan bagi kawasan Kota Marudu. Usaha menaik
taraf itu melibatkan 46km jalan raya dari Kampung Samparita ke Kampung Magandai
yang akan dibina Jabatan Kerja Raya,” katanya sambil menambah program tenaga
solar juga akan diusahakan bagi menyediakan bekalan elektrik ke perkampungan di
bawah pusat mengundi Kampung Magandai.

“Bagi membangunkan masyarakat, kita juga mesti mewujudkan sumber pendapatan
bagi mereka seperti melalui kegiatan pertanian bagi perkampungan di sini yang
mengambil bahagian dalam program tanah milik komunal.

“Ini termasuk ladang getah di bawah lembaga industri getah negeri,
Felcra atau Risda. Kita juga merancang menyediakan tisu kultur bagi mereka
memulakan penanaman hibrid baru nanas yang baik untuk dikomersilkan," katanya
yang pada Mei lalu merasmikan makmal tisu kultur inovasi BioBorneo di sini.

Beliau mengingatkan penduduk di sini bahawa usaha pembangunan hanya akan
berjaya jika penduduk luar bandar menggunakan sebaik mungkin peluang itu bagi
meningkatkan taraf hidup mereka.

-- BERNAMA
NT NT NH

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...