Wednesday, April 2, 2014

Kota Marudu: Kisah Si buta menaruh harapan


KASMAH Tunggang merenung masa depan di hadapan rumahnya yang uzur di Kampung Popok Laut, Kota Marudu, Sabah.

KOTA MARUDU 3 Mac - Hanya tiga perkara yang diharapkan oleh Jamil Jaafar kepada kerajaan sebelum beliau memejamkan mata buat selama-lamanya iaitu sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), paip air dan jalan raya yang sempurna.

Penduduk Kampung Popok Laut berusia 63 tahun itu yang buta kedua-dua belah matanya amat berharap rumah itu kelak akan menjadi tempat berteduh anak dan isterinya jika beliau meninggal dunia dalam masa terdekat kerana rumah sedia ada terlalu usang dan reput.
"Saya yang uzur dan buta ini tidak berdaya lagi mencari rezeki apatah lagi untuk membina sebuah rumah yang lebih baik untuk keluarga.

"Kami hampir putus asa apabila beberapa kali permohonan PPRT yang dikemukakan kepada pihak berwajib tidak pernah diluluskan meskipun telah ramai 'jurugambar' dari jabatan berkenaan datang mengambil gambar rumah kami iaitu hampir setiap tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Jamil, beliau juga inginkan sebatang jalan raya yang sempurna bagi memberikan keselesaan kepada para pengusung jenazahnya kelak tanpa perlu menanggalkan selipar kerana bimbang kaki terbenam di dalam lumpur.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia, boleh dikatakan lebih daripada separuh penduduk Kampung Popok Laut masih berada di bawah tahap kemiskinan berdasarkan keadaan rumah yang sangat mendukacitakan dengan lantai, dinding dan tiang yang mereput.

Keluarga Jamil adalah salah satu contoh yang tepat dalam situasi yang memerlukan pembelaan itu kerana walaupun buta, Jamil sendiri seakan-akan melihat penderitaan rakan sekampungnya dan mulai putus asa akan keadaan itu.

Bukan itu sahaja, Jamil menyifatkan kerja mengisi borang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) adalah kerja sia-sia kerana anak-anaknya yang bersekolah tidak pernah menikmati bantuan sedemikian sejak tabung itu diwujudkan.

"Bukan sahaja KWAPM tapi bantuan-bantuan lain adalah 'mimpi di siang hari' bagi kami yang benar-benar memerlukan, buktinya, lihatlah rumah saya yang uzur ini.

"Namun saya memutuskan untuk tidak bercakap banyak sekarang. Apa guna saya bercakap jika hanya menyakitkan telinga pemimpin sahaja, apatah lagi dengan keadaan saya yang cacat ini," katanya.

Sementara itu, isteri Jamil, Kasmah Tunggang, 57, berkata, beliau juga hampa kerana permohonan yang dibuat pada setiap tahun sejak 10 tahun lalu untuk mendapatkan sebuah gerai di pekan Kota Marudu bagi menjual kuih belum pernah diberi jawapan oleh pihak berwajib.

Tambah suri rumah itu, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatannya menjual kuih di sekitar kampung dan wang bantuan yang diterima oleh suaminya daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am yang berjumlah RM300 sebulan.

Menurutnya, wang pendapatan dan bantuan yang diterima itu seringkali tidak dapat menampung keperluan mereka sekeluarga berikutan kenaikan harga barangan yang mendadak.
Apatah lagi katanya, segala bahan keperluan untuk membuat kuih termasuk air terpaksa dibeli dari kedai runcit yang berada tiga kilometer daripada rumah mereka berikutan air Sungai Kinarom tidak boleh digunakan untuk memasak kerana telah tercemar teruk.

"Sudah tiba masanya kerajaan melihat nasib kami yang berada di sini supaya kami tidak jadi tikus yang mati kelaparan di dalam beras atau menjadi itik yang mati kehausan di tasik tenang," katanya.
Utusan Malaysia pernah menyiarkan kisah Jamil pada hujung 2012 namun nasib mereka sekeluarga barangkali agak sukar untuk menarik perhatian pihak-pihak berkaitan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...