Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN
utusansabah@utusan.com.my
utusansabah@utusan.com.my
Jailah Olon menunjukkan air Sungai Kinarom yang semakin tercemar oleh
pelbagai kotoran termasuk najis haiwan yang dilepaskan dari sebuah
kandang babi dari kawasan berhampiran.
KOTA MARUDU 26 Feb. - Sukar membayangkan jika anda berada dalam situasi yang dialami oleh penduduk Kampung Popok Laut di sini, terutamanya apabila membabitkan bekalan air untuk kegunaan harian seperti mandi, membasuh dan memasak.
Sungai Kinarom yang mengalir di kampung itu tidak memberi banyak harapan kepada penduduk, namun terpaksa dijadikan tempat mandi kerana tiada sumber air lain yang boleh dijadikan sebagai tempat membersihkan diri setelah seharian bekerja.
Menurut seorang penduduk, Sabri Sindong, 23, sungai itu yang membekalkan air kepada lebih 400 penduduk di kawasan itu selama ini tidak lagi bersih untuk digunakan kerana sering dicemari dengan bangkai haiwan.
Malah apa yang mengejutkan, Ketua Pemuda UMNO cawangan Popok Laut itu mendakwa bahawa sungai itu juga dijadikan tempat pembuangan sisa kotoran dari kandang babi yang diusahakan di sebuah kampung berhampiran.
"Sebelum ini memang ada projek memasang paip bekalan air bersih di kampung ini dan amat melegakan penduduk, tetapi dalam masa yang sama menghampakan kami semua," ujarnya.
Tambah Sabri, yang mendukacitakan dalam perkara tersebut adalah paip air berkenaan belum beroperasi tanpa sebarang alasan yang munasabah meskipun semua batang paip telah ditanam.
Ekoran daripada itu, penduduk terpaksa membeli air minuman di pekan Kota Marudu dan sebahagian lagi terpaksa berjalan kaki ke kedai runcit kampung semata-mata untuk mendapatkan air minuman.
"Tiada jalan lain, atas tuntutan kehidupan dan memerlukan bekalan air bersih, kami sedaya upaya mendapatkan air meskipun jauh," keluh seorang suri rumah yang tinggal bersama sembilan anaknya, Jailah Olon, 53.
Bagi Ketua Kampung Popok Laut, Asmarah Matusin, 63, krisis air di kampung berkenaan tidak sepatutnya timbul kerana wakil rakyat mereka di Parlimen Kota Marudu ialah Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili yang juga merupakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Apatah lagi katanya, tahun lalu sungai berkenaan telah diisytiharkan oleh Jabatan Kesihatan Kota Marudu sebagai tidak boleh digunakan untuk diminum, mencuci pakaian dan mandi kerana tercemar dan mempunyai tahap keasidan yang tinggi.
Asmarah menegaskan bahawa perhatian wakil rakyat mereka amat diperlukan untuk menangani krisis air, di samping membantu penduduk yang tidak berkemampuan untuk memasang meter ke rumah masing-masing.
"Hanya lapan orang daripada 78 orang ketua keluarga yang mempunyai pekerjaan tetap di sini, justeru data berkenaan menunjukkan bahawa kebanyakan daripada penduduk adalah miskin tegar dan perlu diberi bantuan yang sewajarnya.
"Kita ceritakan perkara sebenar bukan untuk memburukkan pemimpin, tapi kita beritahu keadaan kita kerana saya faham terdapat juga mereka di luar kampung ini yang memerlukan pembelaan. Namun keutamaan rasanya harus didahulukan di sini," kata Asmarah.
Nasib 416 penduduk kampung daripada suku kaum Bajau dan beragama Islam ini pernah disiarkan oleh akhbar ini pada bulan Disember 2012, namun sehingga kini belum mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berkenaan.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda