Friday, April 25, 2014

USAHAWAN KECIL DAN SEDERHANA KOTA MARUDU AKAN DIBERI PERHATIAN: MUSTAPA



KOTA KINABALU, 12 April (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kementeriannya, melalui
agensi-agensi di bawahnya memberi perhatian dan membantu usahawan
kecil dan sederhana di Kota Marudu untuk membolehkan mereka berkembang maju.

Katanya berdasarkan pemerhatiannya, usahawan-usahawan di kawasan berkenaan
masih berada pada peringkat rendah dan memerlukan bantuan untuk membesarkan
perniagaan.

"Perkembangan usahawan di sini bagus tetapi mereka masih pada peringkat
rendah. (Produk-produk mereka masih berasaskan) kuih, kekacang dan kelapa dara.
Insya Allah kita akan bantu mempertingkatkan perusahaan mereka," katanya kepada
Bernama selepas menemui usahawan kecil dan sederhana di sini hari ini.

Katanya produk-produk keluaran usahawan Kota Marudu sememangnya ada potensi
untuk berkembang maju namun para usahawan berkenaan masih memerlukan bimbingan
lanjut untuk mengembangkan perusahaan mereka.

Mustapa berkata agensi-agensi di bawah kementeriannya seperti SME Corp
boleh memainkan peranan untuk membimbing serta menyalurkan bantuan yang
perlu untuk memastikan usahawan ini maju dan berdaya saing.

Menurut Mustapa beliau akan membuat lawatan susulan ke Kota Marudu dan Kudat
pada masa akan datang untuk melihat secara lebih dekat perkembangan industri
kecil dan sederhana di kedua-kedua kawasan berkenaan, dan seterusnya mengambil
langkah perlu untuk memajukannya.

Kata Mustapa sudah ada perubahan di Kota Marudu dari segi pembangunan
fizikal, namun ia peruntukan yang besar masih diperlukan untuk membangunkan
kawasan itu.

"Yang penting pertambahan infrastruktur seperti jalan raya sudah banyak di
sini. Kalau dahulu, (perjalanan) begitu sukar dari Kota Kinabalu ke sini,"
katanya.
--BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...