Friday, July 15, 2011

Kacang Panggang Kota Marudu


Siapa peminat kacang? haha...bagi yang suka kacang ini sesuatu yang menarik kalau anda ke Kota Marudu. Jangan lupa singgah tempat ni dan beli kacang ni.


Kacang Panggang Kota Marudu
Oleh HAMDEN RAMLI
utusansabah@utusan.com.my

Kata orang jika datang ke Kota Marudu, jangan lupa bawa pulang kacang panggang sebagai buah tangan. Menurut cerita, kacang panggang keluaran daerah yang terkenal dengan tanaman jagung itu sangat sedap.

Lemak, masin, garing, semuanya ada. Dan ia sebenarnya cukup membuatkan peminat makanan ringan terutamanya kacang daripada berhenti menikmatinya.

Kacang panggang Kota Marudu juga diminati kerana ia dikatakan masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dalam penghasilannya.

Ini membuatkan rasa kacang berkenaan berbeza dengan kacang-kacang lain yang banyak dijual di pasaran secara komersial.

Sebenarnya tidak susah untuk mendapatkan kacang panggang Kota Marudu kerana kebanyakan peniaga makanan berkenaan dihimpunkan di satu kawasan berhampiran simpang masuk utama ke daerah berkenaan.

Lebih tepat simpang tiga yang memisahkan antara perjalanan ke pekan Kota Marudu dan Kudat.

Anda tidak akan sesat mahupun terlepas pandang kerana sebaik sampai di simpang berkenaan (jika datang dari arah Kota Kinabalu) akan kelihatan deretan kedai kayu di sebelah kiri jalan.

Apa yang menariknya, dari jauh akan melihat barang-barang jualan digantung tidak ubah seperti pesta tanglung.

Seorang peniaga Justin Limpas, 23, berkata, perniagaan kacang panggang di situ telah bermula sejak tahun 80-an lagi.

Menurutnya, lokasi sekarang merupakan lokasi ketiga peniaga selepas dipindahkan oleh pihak berkuasa daerah atas faktor keselamatan dan ancaman banjir.

‘‘Dahulu kami berniaga di tepi jalan tetapi oleh kerana tidak selamat dan sering dilanda banjir maka pihak berkuasa memindahkan kami di sini,” ujarnya.

Beliau berkata, kacang yang dijual di situ dibahagikan kepada dua iaitu kacang tempatan yang berwarna merah dan kacang import berwarna putih.

Bagaimanapun, katanya, perniagaan utama adalah kacang tempatan yang dibeli daripada petani sekitar daerah itu dengan harga antara RM2.50 dan RM3 sekilogram.

Katanya, kacang import hanya produk sampingan bagi memberi pilihan kepada pelanggan dan meningkatkan hasil pendapatan.

Bercerita mengenai proses menghasilkan kacangan panggang, ia bermula dengan menjemur kacang yang diterima daripada petani selama tujuh hari bergantung kepada cuaca.

Menurutnya, kacang yang telah kering akan dibasuh bagi membuang segala tanah dan kotoran sebelum sekali lagi dijemur sehingga keriang.

‘‘Selepas itu ia akan melalui proses pemilihan iaitu membuang semua kacang busuk, berlubang dan batu sebelum digoreng menggunakan pasir laut,” katanya.

Justin berkata, untuk menggoreng kacang berkenaan, pasir laut perlu dibasuh dan dikeringkan sebelum dipanaskan di dalam kuali selama kira-kira 30 minit.

‘‘Proses paling sukar bermula sebaik kacang dimasukkan ke dalam kuali. Kacang perlu sentiasa dikacau bagi mengelak ia hangit dan kulit jadi hitam.

‘‘Keadaan itu bukan sahaja tidak cantik dipandang mata tetapi menyebabkan kacang berkenaan susah hendak jual,” katanya.

Beliau menambah, selepas kacang berkenaan sejuk, ia akan dibungkus di dalam plastik dan dijual antara RM1 hingga RM10 bergantung kepada saiz bungkusan.

Menurutnya, kacang import turut melalui proses digoreng tetapi kali ini menggunakan minyak.

‘‘Ia akan digoreng sampai garing dan bertukar menjadi warna keperangan,” ujarnya.

Justin berkata, peniaga di kawasan itu turut menjual pelbagai makanan ringan lain, termasuk kuih tradisional bagi memberi pilihan kepada pelanggan.

‘‘Kacang panggang tempatan paling mendapat perhatian pelanggan kerana rasa selain ia sukar untuk didapati di kawasan lain di negeri ini,” jelasnya.

Ditanya mengapa barang jualan di semua kedai-kedai di kawasan itu digantung, beliau berkata, tidak ada rahsia mahupun strategi perniagaan di sebalik tindakan itu.

‘‘Ia hanya untuk mengelak barang jualan diganggu tikus dan pengajaran dilanda banjir menyebabkan peniaga berasa barangan jualan lebih selamat jika tergantung dan tidak diletakkan di atas tanah,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Halimah Mahmod, 25, beliau meminati kacang tempatan kerana rasanya yang enak dan segar.

‘‘Sukar untuk kita mendapat kacang buruk atau pahit seperti kacang-kacang lain,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norimah Nasir, 16, menambah, kepelbagaian barang jualan menyebabkan dia tidak akan melepaskan peluang singgah jika melalui kawasan itu.

‘‘Selain kacang, kita boleh membeli banyak lagi barang-barang lain di kedai-kedai ini termasuk bunga-bungaan,” katanya.




0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...