Siapa belum pernah nampak rusa depan mata? apa!! Ada yang belum pernah nampak. Alalala... kesiannn. Tapi tidak apa... datang lah ke Kebun rusa di Serinsim, Kota Marudu. hehehehe :D
Petikan Berita dari Utusan Online:
TAMAN-TAMAN Sabah (TTS) mengorak langkah dalam aktiviti penyelidikan pengurusan hidupan liar di dalam kawasan Taman Kinabalu melalui pembukaan Kebun Rusa di Substesen Serinsim di Kota Marudu, Sabah.
Kebun seluas dua hektar itu dipagar, dilengkapi dengan kemudahan Rumah Gelap, alat penimbang, ruang pengasingan dan kelong.
Rumah Gelap itu digunakan bagi menenangkan rusa ketika para penyelidik melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas ternakan berkenaan.
Ia membolehkan kebun rusa ini berpotensi dijadikan model sebagai pusat kajian bagi rusa merangkumi kajian pembiakan, pemakanan, penyakit, kelakuan, pemilihan habitat, kadar tumbesar dan jangka hayat haiwan.
Kebun itu dibangunkan sejak 2005 tetapi hanya beroperasi dengan siapnya rumah gelap itu yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Dr. Joachim Gunsalam baru-baru ini.
Kebun Tropika di stesen Poring adalah ladang rusa pertama TTS yang dibuka pada 1988 bermula dengan dua ekor rusa yang diperoleh daripada penduduk berhampiran Taman Kinabalu dan sumbangan daripada Jabatan Hidupan Liar.
Dari tahun ke tahun, bilangan rusa yang ada meningkat kepada 24 ekor hasil kejayaan pembiakan spesies berkenaan.
Bagaimanapun keluasan kebun itu gagal menampung jumlah rusa yang ada kerana seekor rusa memerlukan kawasan mengikut nisbah 1 ekor: 0.4 hektar (seekar).
TTS mengambil inisiatif dengan membuka Kebun Rusa Serinsim dengan keluasan yang lebih lebas dan mampu menampung keperluan rusa sepenuhnya untuk mengembang biak.
Dr Joachim menyifatkan usaha yang diambil untuk membuka Kebun Rusa Serinsim akan menjadi model penting yang berfungsi sebagai pusat kajian dan organisasi yang turut serta dalam program pemuliharaan hidupan liar yang aktif di negeri ini.
''Ia sekali gus akan dapat menjana pendapatan TTS dan akan memberi peluang sosio ekonomi kepada penduduk tempatan Serinsim," katanya yang ditemui selepas merasmikan kemudahan Rumah Gelap itu.
Selain menjalankan fungsi sebagai pusat penyelidikan dan penyelamatan rusa dan haiwan mamalia lain, pembukaan ladang rusa Serinsim akan menjadikannya sebagai sebuah pusat pelancongan sesuai dengan lokasinya dalam kawasan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia.
Dalam pada itu, usaha translokasi rusa dari kebun tropika di Poring ke kebun rusa Serinsim di sini dilakukan selama tiga hari bermula 21 Mac lalu.
Rusa berkenaan dipindahkan dalam dua kumpulan.
Kumpulan pertama melibatkan 11 ekor rusa, yang dikurung dalam kandang khas dan dibawa menggunakan lori pada pukul 4 petang untuk mengelak tekanan kepada rusa serta cuaca panas dan tiba di Serinsim di sini pada pukul 11 malam.
Sepanjang perjalanan, petugas TTS yang mengendalikan translokasi itu memantau rapi keadaan rusa berkenaan dan usaha mereka berjaya dengan kesemua rusa yang dipindahkan itu berada dalam keadaan sihat sebelum dilepaskan di kebun rusa Serinsim.
Kumpulan kedua melibatkan sembilan ekor rusa dan lima ekor akan dibiarkan di kebun tropika Poring untuk mengembangbiak spesies berkenaan.
Pegawai Penyelidik Zoologi TTS Fred Tuh Yit Yu berkata, program translokasi rusa itu adalah sebahagian daripada aktiviti penyelidikan dalam pengurusan hidupan liar di kawasan taman di bawah jagaan TTS.
Katanya, program translokasi tidak terhad kepada aktiviti memindahkan haiwan yang mempunyai konflik dengan manusia seperti kera tetapi aktiviti ini juga merangkumi pemindahan spesies yang mempunyai populasi dan kepadatan yang tinggi di sesuatu lokasi taman.
''Program translokasi ini akan dijadikan sebagai pelantar latihan dalam kalangan petugas yang terlibat mengendalikan hidupan liar terutama haiwan besar seperti rusa," katanya.
Beliau berkata, translokasi rusa ini untuk memudahkan penjagaan kesihatan haiwan itu terutama mengawal kutu dan cacing.
Pembukaan kebun rusa dan rumah gelap, di substesen Serinsim, bakal menjadikan ia sebagai satu lagi produk pelancongan bagi TTS terutama di daerah ini.
Substesen itu terletak di Kampung Serinsim, kira-kira 38 kilometer dari Kota Marudu dan berada pada ketinggian 192 meter dari paras laut menjadikannya sebuah kawasan hutan hujan tropika tanah pamah.
Uniknya substesen ini, ia berhampiran dengan pertemuan dua batang sungai iaitu sungai Serinsim dan sungai Kanarom yang mengalir dari dalam kawasan Taman Kinabalu dan mengalir keluar ke Teluk Marudu.
Pada masa ini, terdapat beberapa kemudahan penginapan disediakan untuk pengunjung seperti asrama yang boleh memuatkan 21 orang pada satu-satu masa, tiga buah calet masing-masing untuk enam orang dan tapak perkhemahan.
Di sekitar kawasan Serinsim terdapat enam tempat menarik yang boleh dikunjungi iaitu puncak gunung Nambuyukong yang mempunyai ketinggian 1,681 meter (5,515 kaki) dari paras laut, Batu Lebah yang bersaiz seperti sebuah rumah, Gua Kelawar, Air Terjun Misumpak, Makam Sigunting sebuah kubur lama milik pahlawan tempatan dan Makam Orang Tinggi (Gambaliu).
Sub tesen Serinsim adalah antara enam substesen TTS di dalam Taman Kinabalu, lima lagi terletak di Mata Air Panas Poring dan Monggis (Ranau), Mesilau (Kundasang), Nalapak (Kota Marudu) dan Sayap (Kota Belud).
Sumber: Utusan Online
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda