KOTA KINABALU 20 Jan 2011. - Seorang ibu muda melalui pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila melahirkan anak pertamanya di dalam hangar helikopter.
Rosnita Puyut, 21, melahirkan bayi lelaki seberat 3.3 kilogram pada pukul 3.30 petang, 6 Januari lalu sebaik sahaja helikopter yang membawa perkhidmatan doktor udara itu yang membawanya dari Kampung Sonsogon Paliu yang terletak jauh di pedalaman Kota Marudu, mendarat di hangar milik Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. di sini.
Dengan bantuan seorang doktor dan jururawat yang turut menyertai penerbangan perkhidmatan doktor udara itu, Rosnita yang turut ditemani suaminya, Cladis Masuti, 28, selamat melahirkan bayi berkenaan.
Walaupun segala-galanya nampak seperti berjalan lancar, namun bayi itu pula tidak memberikan respons yang sepatutnya akibat komplikasi proses kelahiran yang menyebabkannya tidak menangis seperti kelazimannya.
Sekali lagi kecekapan perkhidmatan perubatan terbukti apabila pasukan yang menunggu di hangar itu segera membawa ibu dan anak ke Hospital Queen Elizabeth di sini bagi mendapat rawatan segera sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Likas untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Setelah kira-kira dua minggu mendapat rawatan terbaik, ibu dan anak yang masih belum diberikan nama itu dibenarkan pulang ke rumah mereka di Kampung Sonsogun Paliu hari ini.
Sementara itu Pengarah Urusan Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd., Johan Poong Abdullah berkata, apabila menerima panggilan daripada Jabatan Kesihatan negeri kira-kira pukul 12.15 petang itu, pihaknya terus berlepas ke kampung berkenaan bersama dengan seorang doktor dan seorang jururawat.
"Alhamdulillah cuaca pada hari itu amat baik dan penerbangan itu mengambil masa kira-kira sejam 20 minit untuk sampai ke kampung berkenaan, bagaimanapun masalah timbul apabila pesakit tidak menunggu di kawasan pendaratan yang biasa dilakukan.
"Pihak kita terpaksa berlegar-legar di udara meninjau mereka, sehingga selepas pendaratan ketiga barulah kita menemui kawasan lapang yang ditebas oleh penduduk kampung," katanya.
"Doktor yang bersama dalam penerbangan itu kemudiannya memutuskan untuk membawa Rosnita ke Kota Kinabalu, bukannya ke Hospital Kota Belud yang terdekat kerana komplikasi yang dialaminya," katanya.
Tambah Johan, ini kali pertama kejadian bayi dilahirkan dalam hangar helikopter itu dan pihaknya memutuskan untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat syarikat.
"Jadi sebagai 'ayah' amat tidak elok membiarkan anaknya bersusah payah balik sendiri ke kampung, sebab itulah hari ini pihak kami memberi penerbangan khas secara percuma kepada pasangan suami isteri ini dan anaknya pulang ke rumah mereka," katanya.
Info Lanjut tentang: Klik ----> Kampung Sonsogon
Sumber:
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda