Monday, May 27, 2013

PESTA KAAMATAN MASA UNTUK KETEPIKAN PERBEZAAN, KATA ONGKILI

PESTA KAAMATAN MASA UNTUK KETEPIKAN PERBEZAAN, KATA ONGKILI

KOTA MARUDU, 26 Mei (Bernama) -- Pesta Kaamatan adalah masa bagi setiap
orang, tanpa mengira perbezaan mereka, untuk bersama-sama menyatakan kesyukuran
berikutan hasil tuaian yang melimpah ruah, melambangkan segala kebaikan yang
mereka terima dalam hidup.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
berkata Pesta Kaamatan adalah masa bagi setiap orang mengetepikan perbezaan,
sebaliknya bergembira sambil mengharapkan masa depan yang lebih baik.
Begitu juga, katanya perbezaan politik tidak seharusnya menghalang pemimpin
dan rakyat daripada bekerjasama untuk membangunkan masyarakat.

"Kita mungkin mempunyai perbezaan politik tetapi kita seharusnya ada asas
bersama untuk berganding bahu dan melaksanakan rancangan serta program
pembangunan kerana semestinyalah matlamat bersama kita adalah demi manfaat dan
kesejahteraan rakyat," katanya ketika melancarkan sambutan Pesta Kaamatan
peringkat daerah Kota Marudu di sini hari ini.

Ongkili berkata pelbagai usaha telahpun dilaksanakan untuk membawa teknologi
dan kaedah baharu bagi meningkatkan pertanian dan produk berasas pertanian di
Kota Marudu, terutamanya dengan pelancaran inisiatif bioteknologi baru-baru ini
di kawasan parlimen itu dengan pertanian menjadi aktiviti utama ekonomi.

"Ini termasuk pembukaan makmal kultur tisu yang akan menyediakan benih
kepada petani misalnya untuk penanaman nanas, pisang dan betik bernilai tinggi.
Inisiatif bioteknologi bagi Kota Marudu turut melibatkan penanaman hibrid padi
bernilai tinggi dan berteknologi tinggi manakala sebuah syarikat swasta turut
berminat untuk memulakan penternakan tiram di Kota Marudu.

"Ini akan membolehkan sektor pertanian di Kota Marudu terus berkembang dan
rakyat memperoleh pendapatan lebih baik, namun ini memerlukan komitmen dan
kerjasama semua pihak," katanya.

Mengenai peranan baharu kementeriannya yang turut melibatkan penyelesaian
soal kemudahan asas di Sabah, beliau berkata sebarang penyelesaian kepada
masalah itu memerlukan rakyat, sebagai antara pihak berkepentingan yang utama,
untuk bekerjasama dengan kerajaan.

Ongkili turut mengumumkan Kota Marudu dipilih sebagai venue pelancaran
sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun depan, yang akan memberi peluang
kepada daerah itu mengetengahkan produknya selain keunikan budaya pelbagai
kumpulan etnik seperti Rungus, Tobilung, Irranun, Tinagas, Lingkabau dan
Kimaragang.

Pada majlis itu, beliau memahkotakan Unduk Ngadau Kota Marudu, Daphne Fay
William Santor, yang akan mewakili daerah ini ke pertandingan Unduk Ngadau
peringkat negeri.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...