Monday, May 27, 2013

Pen A ciptaan Cikgu Androd dari Kota Marudu



KOTA KINABALU, 23 Mei (Bernama) -- Mengajar di sebuah sekolah di pedalaman
negeri ini tidak menyekat kreativiti seorang guru yang berjaya mencipta pen
untuk menyelesaikan masalah berkaitan elektromagnet dalam subjek fizik.

Androd Sadian, guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Kota
Marudu, berkata dengan pen ciptaannya yang dikenali Pen Android atau Pen A,
pelajar tidak perlu lagi menggunakan jari tangan untuk menentukan arah yang
tepat seperti kaedah pembelajaran sekarang.

"Sekurang-kurangnya Pen A ini menjamin pelajar memperoleh dua atau tiga
markah dalam peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam
Solidariti dan Apresiasi Pendidik sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri,
di sini malam tadi.

Menurut Androd, pen itu juga boleh digunakan sebagai alat tulis biasa.
Pen ini sudah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran dan akan dipasarkan
di Sabah bermula bulan depan pada harga RM7.50 seunit, sebelum diedar ke seluruh
negara secara berperingkat, katanya yang percaya Pen A merupakan yang pertama
seumpamanya di dunia.


Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk
Masidi Manjun yang juga Exco Pelajaran Sabah, berkata kejayaan Androd adalah
bukti kegigihan guru di kawasan pedalaman dalam mencari kreativiti bagi
menangani kekangan bertugas di kawasan terpencil.

"...mereka berupaya mencari kaedah kreatif dalam meningkatkan semangat
mereka untuk terus bersaing dalam pembangunan pendidikan," katanya.
Terdahulu, Masidi dalam ucapannya berkata tema Hari Guru tahun ini iaitu
''Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda'' amat bersesuaian dalam menempuh era
globalisasi yang berteraskan enam aspirasi murid iaitu berpengetahuan, kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta
beridentiti nasional.

Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan pen itu serta sebuah buku bertajuk
Sejarah Perkembangan Pendidikan Di Sabah (1881-1981) yang ditulis oleh pensyarah
kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayu Sansalu.
Menurut Dayu, buku setebal 300 halaman itu menerangkan sejarah pendidikan di
Sabah sejak 1,000 tahun lalu.
-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...