Monday, May 27, 2013

Kota Marudu: Dua projek bioekonomi di Kota Marudu


Maximus Ongkili (dua kanan) melihat buah nanas yang dihasilkan oleh syarikat Arus Primajaya Sdn. Bhd. semasa pelancaran Projek Bioekonomi di Kota Marudu, Sabah, kelmarin.
 
KOTA MARUDU 3 Mei - Kerajaan akan membangunkan dua projek bio ekonomi iaitu Projek Perintis Petai Belalang dan pengeluaran benih padi hibrid yang melibatkan petani di kawasan luar bandar di daerah ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, projek tersebut akan menggalakkan transformasi sektor pertanian selain membantu meningkatkan kemahiran petani-petani di Kota Marudu.

''Kota Marudu merupakan salah satu kawasan yang telah dikenal pasti di bawah Program Transformasi Bioekonomi (BTP) bagi Projek Beras Hibrid untuk penanaman hibrid Japonica dan Indica yang mampu menghasilkan pengeluaran sehingga 30 peratus lebih daripada padi konvensional.

''Secara keseluruhannya, projek beras hibrid ini akan mewujudkan sebanyak 496 peluang pekerjaan di seluruh negara dan menyumbang sebanyak RM450 juta kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dengan pelaburan sebanyak RM22 juta.

''Justeru, projek ini diharap dapat menyumbang kepada kemampuan negara untuk menampung keperluan dan menjamin keselamatan makanan negara selain meningkatkan pendapatan petani tempatan sehingga RM1.6 bilion setahun menjelang 2020," katanya ketika berucap dalam pelancaran Projek Bioekonomi, di sini semalam.

Dalam majlis itu, Maximus turut menyaksikan pertukaran tiga dokumen kerjasama di antara Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp) dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) untuk pembangunan produk semula jadi yang bernilai tinggi yang terdapat di Sabah seperti herba, rempah dan tumbuhan aromatik (vanila, kenanga dan melati).

Di bawah cadangan kerjasama kedua pula di antara Borneo Scallops Sdn. Bhd. dan Inno Fisheries Sdn. Bhd., sebuah syarikat usahasama akan ditubuhkan untuk pembiakan dan pengeluaran kekapis melalui kemudahan akuakultur bersepadu, dengan pelaburan sebanyak RM540 juta.
Pertukaran dokumen kerjasama ketiga telah dimeterai di antara Inno Integrasi Sdn. Bhd. dan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) bagi membangunkan Baja Bio-organik daripada skim Inno-Works.

Maximus berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan di bawah BTP yang melibatkan penukaran sisa pertanian kepada baja bio melalui penubuhan loji rawatan sisa bersepadu.
Katanya, dua daripada 50 loji bersepadu Inno-Works telah beroperasi di Sabah dan kesemua loji bersepadu ini dijangka dapat menjana 2,260 peluang pekerjaan di seluruh negara dan menyumbang RM197 juta kepada PNK menjelang 2020 dengan pelaburan sebanyak RM1 billion.


Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...