Indahnya perasaan apabila badan melayang dan terapung berjam-jam di udara. Rasa bebas dan puas. Satu pencapaian yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Inilah yang memenuhi ruang fikiran penulis tatkala menyaksikan keberanian wanita Sabah mengendalikan sayap besar dalam aktiviti paragliding melakukan penerbangan solo.
Bagi orang yang ada fobia terhadap ketinggian seperti penulis, peluang paragliding untuk masuk dalam senarai perkara yang hendak dicuba amat tipis.
Ini dibuktikan sendiri oleh Datin Afidah Sabit dari Papar, Sabah apabila dia berjaya melakukan penerbangan solo pertama sebagai juruterbang paragliding di Pusat Paragliding Sabah di Lohan, Ranau - hanya selepas menjalani beberapa sesi latihan.
AFIDAH menunjukkan kemahirannya terbang solo.
Adakah semudah itu untuk menjadi juruterbang paragliding dengan hanya beberapa latihan? Menurut Naib Presiden Kelab Luncur Udara Kinabalu (KLUK), Mejar Haznain Ngamil, itulah hakikatnya.
Agak sukar untuk mempercayainya. Apapun semua sudah dibuktikan oleh Suhaila Subi, Asmawati Ahmad, Diana Johari, Eva Lo, Afidah dan Rena Rean Jefry. Semua wanita manis berusia antara 30-an hingga 40-an ini sudah bergelar juruterbang paragliding.
Kata Afidah, minatnya terhadap sukan lasak itu bermula selepas kali pertama menyaksikan penerbangan paragliding di Pesta Paragliding Sonsoluyon sempena Pesta Kaamatan Ranau. Hatinya bagai didesak untuk mengenali sukan itu dengan lebih rapat apatah lagi selepas melihat proses penerbangan yang mudah dan selamat.
Sungguh seperti kata orang, tak kenal maka tak cinta. Sekali mencuba, keinginan mencipta rekod peribadi semakin meluap-luap.
Katanya, dia cemburu melihat juruterbang bermain dan terapung di udara beramai-ramai berjam-jam lamanya. Sebelum mengenali paragliding, semua ini di luar kotak pemikirannya malah tidak pernah terlintas dia juga mampu melakukannya.
Kini setiap kali ada kelapangan Afidah akan menghabiskan masa di Ranau untuk menikmati sendiri keasyikan terapung di udara. Minatnya ini mendapat sokongan penuh suaminya, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin, Presiden KLUK.
“Perasaan ketika meluncur terbang di udara sukar digambarkan dengan kata-kata. Mulanya memang gementar tetapi apabila sudah belajar cara mengendalikan paragliding, rasa takut dan gementar hilang ditelan keseronokan. Rasa bebas dan puas.
“Selepas diiktiraf sebagai juruterbang paragliding, saya ada satu impian baru. Saya mahu meningkatkan lagi kemahiran sehingga mendapat lesen juruterbang supaya boleh ‘terbang’ di lokasi lain sama ada di dalam atau luar negara.
“Kini saya serius mengikuti aktiviti paragliding dan menggalakkan anak-anak menceburinya. Saya mahu berkongsi keseronokan ini dengan mereka,” katanya.
Juruterbang paragliding wanita Sabah ini sebenarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Suhaila bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Teknik Tawau, Asmawati (pembantu tadbir di Universiti Malaysia Sabah, yang juga atlet paragliding ke Sukan SEA Jakarta lalu). Mereka ialah dua daripada tujuh atlet wanita yang mewakili Malaysia dan membawa pulang dua pingat perak dan empat pingat gangsa. Diana, Salsiah dan Eva pula ialah eksekutif di syarikat swasta sementara Reva pula bertugas di Sabah Homestay.
Aktiviti paragliding di Sabah sudah bermula sejak 2000 sebagai aktiviti masa lapang. Ia digiatkan oleh sekumpulan kecil individu yang meminati aktiviti luar. Bagaimanapun ia tidak bergerak rancak kerana tiada tapak terbang yang sesuai. Justeru, mereka terpaksa ke tapak terbang di luar Sabah seperti ke Bali, Indonesia untuk terbang.
Menurut Haznain, memang masih ramai yang kurang berminat untuk terbabit dalam aktiviti paragliding. Persepsi bahawa sukan udara hanya boleh diceburi golongan tertentu saja kerana memerlukan kos yang tinggi membataskan penyertaan.
Hakikatnya, paragliding boleh diceburi semua golongan dengan adanya pakej pilihan sama ada untuk mempelajari, merasai `tandem’ paragliding, memiliki peralatan sendiri mahupun menyewanya.
KLUK ialah kelab yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang berminat mempelajari teknik paragliding. Ahli KLUK terdiri daripada pelbagai golongan - golongan profesional, berpendapatan sederhana dan rendah. Malah KLUK juga mempunyai juruterbang yang masih belajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.
“Aktiviti ekstrem yang penuh risiko juga menjadi batasan kepada hasrat untuk mendekati paragliding. Namun paragliding sebenarnya selamat sekiranya dilakukan melalui proses pembelajaran dan pelaksanaan yang betul melalui pusat paragliding yang diiktiraf.
“Seseorang yang ingin bergiat dengannya perlu melalui pembelajaran secara teori dan praktikal yang secukupnya sebelum terbang secara solo. Pelatih akan diajar berkaitan teori penerbangan, peralatan, metereologi, peraturan penerbangan, kemahiran penerbangan dan keselamatan.”
Paragliding daya tarikan pelancong
Keunikan Sabah yang kaya dengan khazanah semula jadi sebagai salah satu destinasi eko pelancongan sememangnya tidak perlu diperkatakan lagi. Daripada kemegahan Gunung Kinabalu, kepelbagaian etnik dan budaya, hutan hujan tropika, pulau dan syurga alam marin bagi penyelam, semuanya berada di taraf dunia dan menarik jutaan pelancong setiap tahun.
Kehadiran aktiviti paragliding kini menaikkan lagi tarikan kedatangan pelancong ke Sabah. Walaupun baru tiga tahun ia digiatkan secara aktif, kesannya sudah ketara. Contohnya, pada 2011 lebih 200 juruterbang paragliding antarabangsa berkumpul untuk terbang beramai-ramai di tapak paragliding Sabah.
Lebih 100 juruterbang datang untuk menyertai pertandingan dan kira-kira 500 pelancong mendaftar bagi mengikuti penerbangan paragliding sebagai penumpang atau lebih dikenali sebagai Tandem Paragliding.
“Tandem Paragliding ialah penerbangan di mana penumpang akan dibawa bersama jurulatih yang berkelayakan. Perkembangan ini dilihat sebagai sesuatu yang amat memberangsangkan. Dalam tempoh ini juga Sabah sudah menganjurkan dua Sirkit Ketepatan Mendarat Paragliding Piala Dunia pada Jun 2011 dan Mac 2012.
“Keadaan muka bumi yang bergunung-ganang disokong oleh keadaan cuaca yang konsisten menjadikan paragaliding dan aktiviti penerbangan yang lain sesuai dilakukan di Sabah. Atas dasar inilah Sabah dipilih oleh Federasi Aeronotik Antarabangsa sebagai salah satu destinasi dalam sirkit dunia ini.
“Keadaan muka bumi ini juga yang memberikan tapak terbang yang menarik, unik dan bertaraf dunia. Beberapa tapak terbang yang mempunyai keistimewaan masing-masing juga menarik juruterbang serata dunia yang memberi kepelbagaian pengalaman penerbangan,” kata Haznain.
Tapak terbang yang sudah dimajukan ialah Lohan dan Kundasang di Ranau, Bukit Kokol dan Bukit Ruhiang di Kota Kinabalu dan Bukit Sim-sim dan Bukit Trig di Sandakan. Gunung Kinabalu pula menjadi kemuncak kepada cabaran paragliding yang menarik pelancong serata dunia. Terdapat beberapa tapak di Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Keningau yang sudah dikenal pasti untuk dimajukan pada masa hadapan.
Ranau satu-satunya daerah yang mengadakan pesta paragliding sempena sambutan Pesta Kaamatan setiap tahun di tapak paragliding Lohan. Bertempat di sebelah Kompleks Sukan Ranau, pesta ini akan mengumpulkan juruterbang dalam dan luar negara. Pada acara ini, orang ramai dapat melihat sendiri dengan lebih dekat bagaimana juruterbang melakukan penerbangan.
Dengan perkembangan ini, paragliding melalui satu bentuk transformasi. Ia bukan lagi sebagai hobi, tetapi aktiviti yang membuka ruang dan peluang. Jika pada mulanya juruterbang hanya inginkan keseronokan untuk terbang di udara, kini juruterbang boleh mendapat pulangan daripada kemahiran ini.
Peluang dalam aktiviti yang menjadi produk industri pelancongan ini tidak sekadar tertumpu pada juruterbang, ia juga memberi impak sampingan dalam pelaksanaannya kepada aktiviti yang berkait langsung mahupun tidak langsung.
Apa yang menarik, perkembangan paragliding ini masih tidak selari dengan perkembangan tenaga mahir yang terbabit. Sukan ini masih kekurangan tenaga profesional kerana kebanyakan juruterbang mahir menjadikan aktiviti ini sebagai hobi. Pusat paragliding contohnya memerlukan individu yang berkemahiran dalam pelbagai bidang selain juruterbang mahupun jurutandem. Masih banyak kekosongan untuk jawatan jurulatih, pembantu juruterbang, pelipat payung, marsyal, penunjuk arah, pemandu dan porter.
Permintaan untuk paragliding juga menunjukkan peningkatan yang amat ketara. Setiap bulan ramai pelancong yang datang menjadikan paragliding sebagai salah satu tujuan berada di Sabah. Fenomena ini dilihat sebagai suatu yang amat positif bagi industri pelancongan Sabah.
Sekiranya ada hasrat untuk mencubanya, pesta paragliding medan terbaik untuk mendapatkan maklumat daripada juruterbang yang ada. Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat boleh layari laman web www.borneoparaglider.com atau hantarkan e-mel anda ke kkparaglider@yahoo.com.
Sumber: Harian Metro
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda