TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK
SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN
KETUA MENTERI SABAH SEMPENA PERASMIAN TALOB TAGAYO (TAMU BESAR) TANDEK
2013, PADA 3 MAC 2013, DI PEKAN TANDEK
KOTA MARUDU SABAH.
Bersyukur
kita ke hadrat Allah kerana dengan izin-Nya jua kita telah diberi kesempatan
untuk bersama-sama sempena Majlis Perasmian Talob Tagayo Tandek 2013. Pada
kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak
Penganjur atas jemputan untuk saya merasmikan majlis pada hari ini.
Sesungguhnya
saya menyokong dan mengalu-alukan Talob Tagayo ini kerana ia merupakan wadah
perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di mana masyarakat di daerah ini dapat
bertemu dan mengenali adat dan budaya bangsa masing-masing.
Kita
amat beruntung sejak negara kita merdeka dari penjajah, kita tidak lagi berasa
takut untuk keluar membawa hasil-hasil pertanian kita ke tamu dan ke mana saja
yang kita rasa boleh dijual. Kita amat
berterima kasih kepada pemimpin yang terdahulu yang berusaha untuk mencapai
kemerdekaan negara kita dan mempertahankan negara kita dari dijajah semula.
Pada
masa sekarang negara kita tidak lagi berdepan dengan penjajah tetapi negara
kita berdepan dengan tekanan-tekanan dari luar yang menyebabkan kita perlu
berusaha dengan lebih gigih untuk mempertahankan negara ini. Kita
seharusnya bersyukur kerana Negeri Sabah
tidak ketinggalan dengan arus pembangunan. Pelbagai program pembangunan yang
dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.
Pada hari ini, kita dapat melihat pelbagai kaum ada di Tamu Besar ini untuk menjual
hasil sama ada hasil pertanian, hasil laut,
ternakan dan kraftangan.
Selain
daripada itu, sesungguhnya Pesta Tamu Besar ini akan menunjukkan keunikan
pelbagai kesenian, tradisi dan warisan budaya masyarakat di daerah ini. Ini
sekaligus memberi gambaran tentang kekayaan, keunikan dan keistimewaan
kebudayaan masyarakat di sini. Inilah
sebenarnya salah satu daripada ciri-ciri istimewa serta unik tentang Talob
Tagayo di Kota Marudu.
Justeru,
saya berharap pesta ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh masyarakat daerah
ini, terutama dalam usaha meningkatkan ekonomi, di samping mengekalkan keaslian
budaya ini agar terus terpelihara dan kekal indah tanpa dicemari oleh
unsur-unsur budaya luar.
Sambil
kita menonjolkan budaya didaerah ini, Tamu Besar ini juga berperanan untuk
menarik pelancong-pelancong dari pelbagai Negara dan Negeri untuk melancong ke daerah
ini dan melihat budaya di daerah ini dan seterusnya meningkat pendapatan
penduduk di daerah ini.
Akhir
kata, saya melahirkan harapan agar sambutan Talob Tagayo ini memberi manfaat
yang cukup berguna kepada seluruh penduduk di daerah ini. Saya juga berharap agar peluang menonjolkan
budaya serta adat resam tempatan ini tidak disia-siakan oleh penduduk di daerah
ini disebabkan usaha ini mampu merealisasikan hasrat kerajaan memajukan ekonomi
negeri ini melalui bidang pelancongan.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda