Kebebasan penduduk disekat
KOTA MARUDU 28 Feb. - Mimpi buruk kian menghantui penduduk Kampung Sonsogon Suyad, apabila mereka tidak dapat meneruskan kehidupan seperti biasa kerana terhalang oleh peraturan baru daripada sebuah syarikat pembalakan yang didakwa mengambil alih kawasan tersebut.Syarikat tersebut dikatakan memperkenalkan peraturan itu sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini.
Penduduknya lebih 200 orang yang rata-ratanya adalah pengamal pertanian tradisi itu kini tidak lagi bebas untuk membuka huma, apatah lagi menoreh getah milik mereka.
Wakil penduduk, Anil Jamulah, 50, berkata, pergerakan mereka dipantau oleh pihak syarikat berkenaan dengan pelbagai cara sehingga menimbulkan rasa takut dan kurang selesa.
''Jangankan bercucuk tanam atau mengambil kayu bulat untuk dibuat rumah, memasang perangkap tupai di hutan pun merupakan satu kesalahan kepada pihak syarikat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kampung itu yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sini merupakan sebuah perkampungan tradisional suku Kimaragang, hanya dapat dihubungi dengan pacuan empat roda dengan jarak perjalanannya kira-kira tiga jam dari sini.
Menurut Anil, tindak tanduk syarikat tersebut telah pun dilaporkan kepada pemimpin atasan dan agensi-agensi kerajaan secara bertulis serta lisan namun tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga kini.
Walaubagaimanapun katanya, mereka amat bersyukur kerana kerajaan sedia ada sentiasa berfikir untuk mengubah cara hidup mereka yang mundur kepada lebih maju.
''Kami mahu supaya kerajaan menasihati syarikat yang dilantik untuk lebih sensitif dan prihatin terhadap cara hidup kami yang bergantung sepenuhnya dengan sumber-sumber alam yang ada,'' rayunya.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda