Mereka perlukan pembelaan
KOTA MARUDU 10 Jan. - Jarak Kampung Bombong 1 di sini dari Pekan Tandek hanya kira-kira 30 kilometer, tetapi masa yang terpaksa diambil untuk ke pekan itu hampir dua jam, itu pun jika menggunakan kenderaan pacuan empat roda!
Terletak di Bukit Tosung, kampung itu merupakan kampung yang aman damai meskipun dihuni oleh hampir 500 penduduk yang rata-ratanya berada di bawah paras kemiskinan.
Mereka merupakan penoreh getah, penanam padi bukit dan ubi kayu. Edwin Koyo, 32, adalah antara mereka yang begitu setia mengharungi kehidupan yang serba mencabar di kampung itu.
"Perkara paling utama yang perlu diberi perhatian ialah pembinaan jalan yang sempurna untuk keperluan penduduk di sini berhubung dengan dunia luar, di samping dapat memudahkan mereka membawa hasil pertanian ke pekan," jelas penoreh getah ini.
Edwin menambah, banyak prasarana awam yang dimohon seperti dewan, gelanggang futsal dan balai raya untuk kemudahan penduduk kampung tetapi sehingga kini belum mendapat perhatian yang sewajarnya.
Walaupun harapan mereka untuk mendapat kemudahan masih samar-samar, penduduk telah menyediakan tapak-tapak pembinaan untuk kemudahan itu dan mereka tetap menunggunya dengan penuh sabar.
"Di tempat-tempat lain kerajaan menghadapi masalah tapak untuk mendirikan dewan serbaguna, tetapi berlainan dengan kami di sini, tapak sudah disediakan tetapi yang ditunggu belum datang," ujarnya tertawa.
Selain masalah jalan yang belum terubat, terdapat satu lagi kebimbangan terbesar penduduk kampung itu iaitu kewujudan ladang kelapa sawit di puncak Bukit Tosung seluas 690 hektar yang mengancam pusat tadahan air mereka.
Seorang pemimpin juga aktivis masyarakat yang disegani di Kota Marudu, Datuk Abdul Latiff Kandok berkata, sisa-sisa bahan kimia seperti racun rumpai menyebabkan Sungai Milian yang membelahi kampung itu tercemar.
"Malah paip graviti untuk bekalan air kampung dan kampung berhampiran juga berpunca dari pusat tadahan ini," ujarnya bimbang.
Beliau yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia (Kimaragang) menggesa Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani perkara itu.
Tambahnya, tanpa tindakan awal daripada Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi berkaitan, kesihatan penduduk yang menggunakan air dari pusat tadahan itu bakal terancam selain merosakkan ekologi sungai.
"Adalah perlu agensi berkenaan memantau keadaan sungai sekerap mungkin, bukan sahaja untuk kebaikan penduduk Kampung Bombong 1, tetapi untuk mereka yang bergantung pada pusat tadahan tersebut," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda