Wednesday, March 20, 2013

Kota Marudu: Kampung Bombong 1 perlu dibantu

Jangan sia-siakan kesetiaan penduduk

"Jalan masuk ke Kampung Bombong masih bertanah merah dan jalan ini akan berlumpur jika hujan lebat"

KOTA MARUDU 10 Jan. - Meskipun dalam tempoh dua tahun hanya lapan keluarga yang berjaya mendapat rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin di Kampung Bombong 1, Ketua Kampungnya, Jubin Pongubi, 59, tetap berterima kasih kepada kerajaan terhadap nikmat yang diperoleh itu.

Bantuan kebajikan bagi mereka yang memerlukan dan bekalan elektrik untuk setiap rumah merupakan antara contoh bantuan kerajaan yang sukar mereka nafikan.

"Namun saya berharap pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk membuat pendawaian di beberapa buah rumah di sini dapat menyiapkannya segera agar penduduk terbabit lebih selesa dan tidak lagi terpaksa menggunakan lampu minyak tanah," katanya.

Jubin yang mewakili keseluruhan penduduk juga mengharapkan agar kerajaan membantu menyediakan tapak untuk kawasan kampung dan pembaikan rumah-rumah ibadat.

"Dari sehari ke sehari, bilangan penduduk semakin bertambah dan peluasan kampung adalah perlu. Pihak kerajaan khususnya pemimpin perlu memberi perhatian yang sesungguhnya kepada kami yang jauh dari pembangunan pesat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bombong 1, Japlin Asrakal meminta kerajaan membina bangunan Tabika Kemas kerana pada masa ini kelas itu terpaksa menumpang di balai raya kampung yang agak daif.

"Prasarana pendidikan perlu dijadikan keutamaan bagi kampung ini. Selain Tabika Kemas, sebuah sekolah rendah juga perlu dibina kerana setakat ini para pelajar terpaksa belajar di Sekolah Kebangsaan Samparita.

"Walaupun jumlah yang bersekolah di sekolah tersebut hanya 51 orang dan tinggal di asrama, mahu tidak mahu Bombong 1 memerlukan sekolah rendah sendiri kerana penduduknya yang kian bertambah," katanya.

Tambah Japlin, walaupun serba kekurangan para penduduk tetap setiap setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana menyedari pengagihan peruntukan lambat kerana kebarangkalian wujudnya perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Jangan suka menyalahkan pihak-pihak tertentu, sebaliknya berilah kerjasama terbaik kepada sesiapapun mereka, yang penting dari komponen parti kerajaan untuk masa depan penduduk di sini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...