Bina pusat pemindahan banjir
Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN utusansabah@utusan.com.my
KOTA MARUDU 13 Feb. - Banjir bukanlah perkara baharu bagi penduduk Kota Marudu yang saban tahun sebahagian daripada mereka dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir, khususnya di sekolah atau dewan serbaguna.
Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia (Kimaragang), Datuk Abdul Latiff Kandok berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan membina bangunan atau penempatan khas yang tetap bagi memindahkan mangsa banjir di setiap kawasan yang sering dilanda banjir.
Katanya, cadangan itu berdasarkan kepada keadaan geografi Kota Marudu yang rendah membuatkan daerah itu mudah terdedah kepada banjir setiap kali hujan secara berterusan.
"Keadaan pembangunan yang tidak terkawal juga menyumbang berlakunya banjir. Di negara-negara maju seperti Jepun yang sering dilanda tsunami dan gempa bumi, kerajaan mereka menyediakan tempat perlindungan khas dan penduduk diajar menyelamatkan diri pada bila-bila masa.
"Tanpa menunggu arahan, mereka terus ke pusat perlindungan sekiranya gejala bencana alam dapat dikesan, apatah lagi jika terdengar siren dibunyikan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan, antara di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon, SK Ranau, Dewan Serbaguna Mosolog dan Pusat Komuniti Rukun Tetangga Kampung Salimandut, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Ikatan Sabah, Azahari Amit, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bombong 1, Japlin Asrakal dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Salimandut, Badly Tuyundo.
Abdul Latiff berkata, bangunan seumpama itu mampu diwujudkan oleh kerajaan tetapi mestilah dibina di tempat sesuai dan lengkap dengan prasarana seperti dewan makan, tempat permainan dan pusat riadah bagi penduduk yang dipindahkan.
Beliau yang juga bekas Pegawai Daerah Kinabatangan mencadangkan supaya agensi kerajaan seperti Biro Tata Negara dijemput untuk memberi ceramah kenegaraan sebagai salah satu pengisian selama penduduk berada di pusat tersebut.
Sementara itu, Azahari Amit memuji komitmen kerajaan yang prihatin membantu mangsa banjir setiap kali fenomena itu berlaku dengan mengagihkan makanan dan keperluan asas.
Namun demikian, katanya, melalui pemantauan yang dilakukan di pusat pemindahan banjir, keperluan seperti lampin kanak-kanak, tikar dan keperluan orang kurang upaya masih perlu ditambah baik demi keselesaan golongan itu pada masa depan.
Banjir pada bulan lalu menyebabkan seramai 1,851 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan mangsa banjir di seluruh Kota Marudu.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda