Saturday, July 27, 2013

KUMPULAN KHUSUS DIBENTUK PANTAU PELAKSANAAN PROJEK BEKALAN ELEKTRIK DI SABAH


KOTA MARUDU, 22 Julai (Bernama) -- Satu kumpulan khusus bagi memantau dan
memberi nasihat berhubung pelaksanaan projek bekalan elektrik diwujudkan bagi
menangani masalah bekalan elektrik di Sabah.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
berkata kumpulan itu yang akan dipengerusikan timbalannya Datuk Seri Mahdzir
Khalid juga terdiri daripada wakil Suruhanjaya Tenaga, Sabah Electricity Sdn Bhd
(SESB) dan agensi berkaitan selain tujuh anggota Parlimen dari komponen parti
itu di Sabah.

"Kumpulan itu akan mengkaji, memantau dan memberi nasihat berhubung
perancangan dan pelaksanaan projek bekalan elektrik di Sabah dan melaporkannya
kepada saya sebagai Menteri," katanya semasa berucap pada mesyuarat agung
tahunan ke-28 Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian Tandek di sini hari ini.

Turut hadir naib presiden PBS dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri
Datuk Radin Malleh dan anggota dewan negeri kawasan Tandek Anita Baranting.

Ongkili berkata terma rujukan kumpulan itu termasuk memantau perkembangan
dan pelaksanaan projek penjanaaan kuasa, penghantaran dan pembahagian
terutamanya yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh selain tarif
elektrik dan keuntungan SESB.

Agensi lain yang akan turut membantu ialah Unit Perancang Ekonomi dan Unit
Kerjasama Awam Swasta di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Bahagian
Infrastruktur Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Unit Perancang
Ekonomi Negeri Sabah dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari.

"Kerajaan komited dalam menangani masalah bekalan elektrik di Sabah dan
dengan wujudnya kumpulan ini, ia akan dapat meningkatkan usaha itu," katanya
sambil menambah bahawa masalah itu lebih kritikal di Tawau, Sandakan dan
bandar-bandar di pedalaman.

Bagaimanapun, Ongkili berkata pelbagai langkah dirangka dalam tempoh tiga
tahun akan datang itu dijangka dapat memastikan bekalan elektrik yang mencukupi
bagi Sabah untuk dekad akan datang.

Kapasiti bekalan elektrik yang dipasang di Sabah kini ialah 1344MW dan
kapasiti yang ada sekarang ialah 1,100MW manakala permintaannya ialah antara
870 hingga 950MW, dengan bekalan simpanan antara 20 dan 100MW. Kapasiti sedia
ada adalah rendah daripada kapasiti yang dipasang berikutan gangguan tenaga yang
dirancang dan dipaksa.

Ongkili, yang juga timbalan presiden PBS dan ketua PBS bahagian Tandek
berkata kadang kala langkah yang diambil kerajaan terganggu berikutan bantahan
orang ramai.

Beliau berpendapat setiap pihak perlu bekerjasama dan bersikap rasional
dalam usaha menangani masalah bekalan elektrik di Sabah.
-- BERNAMA
NT NT NH

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...