Wednesday, July 3, 2013

Kota Marudu: Kegigihan Sarel belajar dapat perhatian Petronas

Kegigihan Sarel belajar dapat perhatian Petronas

NAIB Presiden Pengurus Sumber Manusia Petronas, Raiha Azni Abdul Rahman (kanan, depan) berbual dengan Sarel semasa pelancaran Program Sentuhan Ilmu Petronas, baru-baru ini. 
 
KOTA KINABALU 4 Jun - Sarel Marikau, 14, pelajar dari sebuah perkampungan terpencil di Tandek, Kota Marudu, yang mendapat perhatian ramai di kawasan itu kerana kegigihannya menjejakkan kaki ke alam persekolahan dipilih sebagai salah seorang penerima bantuan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP).

Sarel atau lebih dikenali sebagai Elidius dalam kalangan rakan dan guru di kawasan itu memulakan persekolahan hanya pada usia 10 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Magandai yang terletak tiga jam perjalanan dari kampungnya di Sonsogon Suyad.

Disebabkan usianya, Sarel terpaksa memulakan persekolahan di tahun empat.
Walau bagaimanapun, dia mungkin tidak berpeluang langsung mendapat pendidikan formal jika bukan kerana azamnya yang kuat untuk bersekolah sehingga sanggup meninggalkan rumah dan meminta bantuan seorang guru untuk mendaftarkannya di SK Sungai Magandai.

"Ketika itu saya tinggal dengan nenek saya. Nenek saya mahu saya terus duduk di kampung untuk membantunya mengerjakan tanah," kata anak kedua daripada tiga beradik itu yang ditemui dalam majlis pelancaran PSIP di Menara Petronas, di sini baru-baru ini.

PSIP merupakan gabungan dua inisiatif pendidikan Petronas iaitu Program Biasiswa Kecil Petronas dan Program Bakti Pendidikan Petronas.

Program itu melibatkan pemberian bantuan keperluan sekolah dan pelaksanaan program-program khas untuk membantu pelajar-pelajar yang terpilih untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha berterusan Petronas memupuk bakat serta menyediakan peluang di semua peringkat pembangunan sumber manusia.

Di Sabah, PSIP memberi manfaat kepada pelajar terpilih di lapan sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah, Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nangka, Tuaran, SMK Badin, Tuaran, SMKA Limauan, Papar, SMK Bongawan 2, Bongawan, SMK Sindumin, Sipitang; SMK Padang Berampah, Sipitang dan SMK Kota Marudu 2, Kota Marudu.

Sarel yang kini menuntut di tingkatan satu di SMK Kota Marudu 2, kira-kira 140 kilometer dari ibu negeri berkata, dia tidak tahu menulis atau membaca semasa memulakan persekolahannya pada usia 10 tahun.
"Pada mulanya saya menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah. Walau bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan berusaha bersungguh-sungguh. Akhirnya, segala usaha saya berbaloi," katanya yang terpilih antara pelajar cemerlang dalam kelasnya semasa di tahun enam.
Menurutnya, selain menumpukan perhatian ketika guru mengajar dia meminta bantuan murid lain untuk mengajarnya menulis dan membaca.

Selepas hanya tiga tahun di sekolah rendah, Sarel mencatat keputusan 2A 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Ketika ditanya sama ada dia menghadapi sebarang kesukaran untuk menguasai pelajaran di sekolah menengah, Sarel yang bercita-cita menjadi jurutera berkata, dia tidak menghadapi banyak masalah.
"Saya berasa terdorong berusaha lebih gigih lagi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas kerana memilih saya sebagai seorang daripada penerima bantuan ini," ujarnya.

Sumber:
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...