KOTA KINABALU 9 Jun - Industri getah di negeri ini akan dilonjakkan ke tahap tertinggi menjelang 2020 dengan sasaran peningkatan keluasan tanaman getah kepada 130,000 hektar bagi pekebun kecil berbanding hanya 94,000 hektar ketika ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, selaras dengan itu, pihaknya juga menyasarkan peningkatan penghasilan produk getah Malaysian Rubber Standard (SMR) daripada 50,000 tan setahun kepada 80,000 tan setahun menjelang tahun berkenaan.
"Selain itu kita juga akan melaksanakan Projek Agropolitan Gana di Kota Marudu melibatkan penanaman getah untuk program membasmi kemiskinan tegar yang disertai seramai 450 keluarga.
"Dalam masa sama, kita juga akan membantu kira-kira 12,000 pekebun kecil getah baharu meningkatkan hasil getah kepada 2,000 kilogram sehektar berbanding 1,398 kilogram sehektar pada masa ini sekali gus menjana pendapatan bersih di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Musbah Jamli dan Datuk Sairin Karno; Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr. Salmiah Ahmad; Pengerusi LIGS, Ahmad Bujang serta Pengurus Besar LIGS, Datuk Harris Mathews.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan LIGS dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, beliau yakin segala program yang dirancang akan mencapai kejayaan.
Katanya, pada masa ini, pekebun kecil di negeri ini sudah menaruh keyakinan kepada LIGS yang menyaksikan kilang-kilang getah LIGS berjaya meningkatkan hasil dari semasa ke semasa.
"LIGS pernah mengalami waktu kesukaran pada 2008, 2009 dan 2010 terutama sekali mengenai isu-isu berkaitan pekebun kecil dan masalah hutang LIGS berjumlah RM85 juta.
"Namun masalah itu telah pun dapat ditangani dengan bijaksana dan LIGS juga telah dapat menyelesaikan pembayaran tertunggak kepada pekebun kecil getah sepenuhnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun lalu sahaja, LIGS telah melaksanakan penanaman getah baharu di kawasan seluas 4,323 hektar di seluruh negeri bernilai RM40.6 juta.
Katanya, sebagai tambahan pada tahun ini, LIGS akan melaksanakan pembangunan penanaman getah baharu seluas 3,215 hektar melibatkan 1,016 pekebun kecil.
0 comments:
Post a Comment
Apa kata anda