Saturday, July 27, 2013

Rayu tangguh roboh rumah etnik Kimaragang di Kota Kinabalu




Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN
utusansabah@utusan.com.my


KOTA MARUDU 9 Julai - Pertubuhan Kimaragang Malaysia (Kimaragang) merayu agar pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dapat menangguhkan proses merobohkan kawasan setinggan didiami etnik itu di Jalan Sharif Osman, Kota Kinabalu dekat sini.

Presidennya, Datuk Abdul Latif Kandok berkata, DBKK harus mencari formula terbaik untuk menyelesaikan isu itu memandangkan setinggan tersebut terdiri daripada rakyat tempatan yang berasal dari Kota Marudu.

"Mereka terdiri daripada etnik Kimaragang dan Rungus yang menjadikan rumah kerajaan yang usang di kawasan itu untuk diduduki selain rumah yang mereka dirikan sendiri sejak 20 tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, penduduk di kawasan itu sudah mengambil keputusan untuk tinggal di bandar atas desakan hidup, malah sebahagian daripada mereka tidak mempunyai tanah di kampung halaman.

Katanya, penduduk di kawasan itu wajar diberikan tempoh berpindah lebih praktikal supaya mereka terlibat dapat mencari tempat tinggal lebih baik.

"Selagi mereka bergelar warganegara, mereka perlu diberi hak dan keadilan sewajarnya sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.
Sebelum ini, pihak DBKK memberi notis pindah berkuat kuasa sehingga 11 Julai kepada hampir 400 penduduk di situ, sebelum pihak berkenaan bertindak merobohkannya.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...