Saturday, July 27, 2013

PEMBANGUNAN MATUNGGONG HASIL USAHA KERAJAAN BN - ONGKILI

KOTA MARUDU, 14 Julai (Bernama) -- Pembangunan yang berlaku di Matunggong
adalah atas hasil usaha Barisan Nasional (BN) yang tidak boleh dinafikan oleh
pihak pembangkang.

Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Anggota
Dewan Undangan Negeri Matunggong dari Parti

Keadilan Rakyat (PKR) sepatutnya bekerja kuat untuk membawa pembangunan dan
perubahan yang telah dijanjikannya kepada rakyat dan tidak patut mendakwa bahawa
tiada peruntukan yang disalurkan untuk meningkat kebajikan dan taraf hidup
rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata sejak empat
tahun lepas, Matunggong menerima peruntukan paling tinggi untuk bekalan air yang
mencecah hampir RM300 juta selain kelulusan kerajaan persekutuan untuk membina
semula 21 rumah panjang bagi menggantikan yang sedia ada, sebuah bangunan
sekolah dan projek menaik taraf lima batang jalan raya.

"Selain itu, liputan grid elektrik di Matunggong ialah sebanyak 90 peratus
sementara projek seumpama itu di beberapa lagi kampung sedang berjalan

"Bagi mendatangkan pendapatan kepada penduduk menerusi aktiviti pertanian,
sekurang-kurangnya lima projek menanam getah oleh LIGS (Lembaga Industri Getah
Sabah) dan Risda sedang dilaksanakan di Matunggong.

"Semua ini dilakukan bagi menaik taraf kehidupan rakyat menerusi kemudahan
asas dan aktiviti bagi mendatangkan pendapatan," katanya pada majlis perjumpaan
dengan penduduk di Kg Barangkason di Matunggong dekat sini malam tadi.

Ongkili berkata sebagai perbandingan, Matunggong sedang menuju ''tempoh
gelap'' di bawah PKR yang belum membawa kemajuan kepada rakyat selain membuang
masa dan tenaga mengkritik BN.

"Saya menyeru Adun berkenaan supaya mula bekerja di Matunggong dan
melaksanakan segala yang dijanjikannya kerana masa berkempen untuk
memperkecilkan Barisan Nasional telah berakhir," katanya.

Beliau menjelaskan seseorang Anggota Parlimen perlu mengemukakan keperluan
rakyat dan menyakinkan pimpinan atasan untuk meluluskan peruntukan kerana
kawasan lain turut membida projek pembangunan.

Ini termasuk kejayaan beliau menyakinkan kerajaan persekutuan untuk
memperuntuk wang bagi menggantikan 21 rumah panjang di Matunggong dan program
infrastruktur asas yang lain, katanya.

Ongkili berkata beliau percaya rakyat di Matunggong akan sedar bahawa
mengundi pembangkang merupakan satu kesilapan, sekiranya mereka tidak inginkan
pembangunan.

"Ini kerana pembangkang hanya pandai bercakap tetapi tidak boleh membawa
hasil kepada rakyat. Mungkin baik bagi rakyat di bandar besar yang tidak
memerlukan pembangunan tetapi merupakan bencana bagi rakyat di luar bandar,"
katanya.
-- BERNAMA
NT NT HM

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...