Wednesday, July 3, 2013

Pengadu tuntut keadilan atas kecuaian k-tangan Hospital Kota Marudu

Pengadu tuntut keadilan atas kecuaian k-tangan Hospital Kota Marudu

 
ActionLine telah dihubungi oleh seorang pengadu dari Kampung Sungoi, Kota Marudu, yang mahu menuntut keadilan di atas kecuaian kakitangan di Hospital Kota Marudu yang telah menyebabkan kematian anak lelaki yang baru dilahirkannya.

Mengimbas semula kejadian itu, pengadu menjelaskan yang dia dimasukkan ke wad bersalin di hospital berkenaan pada 12 Jun, sekitar jam 10.30 pagi dan diperiksa setengah jam kemudian.
Hasil dari pemeriksaan berkenaan mengatakan yang bayi saya berada dalam keadaan yang baik selain sudah terdapat bukaan sebesar 3sm.

Dua jam kemudian, saya pun dibawa ke bilik bersalin dan disambungkan dengan mesin untuk mengesan pergerakan bayi. Pada 1.40 petang, jururawat yang bertugas meninggalkan bilik tersebut selepas mengambil bacaan dari mesin yang dipasang,” katanya.

Pengadu juga berkata sejurus selepas itu, dia terasa yang masanya untuk bersalin sudah tiba meskipun menjerit dengan kuat untuk meminta pertolongan, jururawat berkenaan tidak datang sehingga 10 minit kemudian dia terasa yang bayi tersebut sudah tidak bergerak lagi.

Jururawat itu cuma muncul pada 1.55 petang bersama dengan pembantunya.
Mereka bertanya sekiranya air ketuban saya sudah pecah oleh itu bila saya menjawab ya, mereka pun cuba untuk mengeluarkan bayi saya tetapi bayi saya itu sudah pun keras. Dua doktor kemudiannya datang dan jawapan yang saya dapat hanyalah mereka sudah melakukan yang terbaik dan bayi berkenaan akan dihantar ke Likas, katanya.

Pada hari berikutnya, pengadu bersama suami pun pergi ke Hospital Likas bagi melihat keadaan bayi mereka dan diperjelaskan oleh seorang doktor yang pihak hospital sudah tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyelamatkan anak lelaki mereka itu kerana dia mengalami kecederaan otak yang serius.

Kami juga diberi kebenaran untuk membawa anak kami pulang ke rumah tetapi disebabkan kami masih mempunyai harapan bahawa dia akan sembuh, maka kami memilih untuk membiarkannya tinggal sahaja di hospital berkenaan.

Pada 21 Jun, sekitar pukul 9.40 pagi anak saya disahkan meninggal dan ketika suami saya bertanya kepada doktor mengenai punca sebenar kecederaan otak anak saya, kami tidak diberikan jawapan tetapi diarahkan supaya merujuk perkara itu kepada doktor di Hospital Kota Marudu.

Pengadu kemudiannya menyatakan yang pada hari yang sama juga suaminya telah ke Hospital Kota Marudu untuk berjumpa dengan pengarah bagi mendapatkan penjelasan terhadap sebab kematian anaknya.

Jawapan yang diterima langsung tidak membantu malah ianya berbunyi seperti sindiran. Malah suami saya diminta untuk bertanyakan soalan tersebut kepada doktor di Likas kerana anak kami meninggal di sana.

Selang dua minggu kemudian, saya menerima panggilan telefon yang meminta saya untuk datang je Hospital Kota Marudu. Seorang doktor kemudiannya menjelaskan yang punca kematian sebenar anak saya ialah saluran darah yang tidak normal pada tali pusatnya yang mana hanya terdapat satu saluran darah.

Bagaimana pun, saya merasakan yang ianya tidak masuk akal kerana masalah ini tidak pernah dinyatakan ketika anak saya masih dalam jagaan di Hospital Likas. Malah, laporan bulanan pemeriksaan di klinik sehingga ke saat saya melahirkan anak tidak pernah menunjukkan sebarang masalah, katanya.

Dalam hal yang lain, pengadu turut mengatakan bahawa masalah itu juga pernah mendapat perhatian dari kementerian yang berkenaan selepas menulis surat aduan kepada mereka. Sepasukan badan bebas juga turut datang ke Kota Marudu bagi menyiasat aduan terbabit.

Saya diberitahu yang hasil dari siasatan itu menyatakan bahawa punca kematian anak saya adalah sama seperti yang dilaporkan oleh doktor di Hospital Kota Marudu tetapi dalam masa yang sama pihak mereka tidak menafikan yang ada berlakunya kecuaian di mana jururawat meninggalkan bilik itu meskipun saya berada dalam kondisi yang memerlukan perhatian penuh.

Tambahan pula, penjelasan yang diberikan tidak konsisten. Di Likas, saya dimaklumkan yang anak saya meninggal disebabkan kecederaan pada otak sementara di Kota Marudu ia disebabkan masalah saluran darah. Di sijil matinya pula dinyatakan punca kematian ialah Hypoxic Ischemic Encephalopathy yang mana bermaksud bayi tidak mendapat oksigen yang cukup. Jadi mana satu yang tepat?

Saya juga percaya bahawa sekiranya jururawat berkenaan tidak meninggalkan bilik bersalin pada hari itu, kejadian ini tidak akan berlaku,” katanya sambil menambah yang dia menganggap masalah ini belum selesai.

Kami mahukan pampasan di atas kecuaian yang pihak mereka lakukan,” akhirnya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Kota Marudu gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas kerana sedang menghadiri mesyuarat di Pejabat Daerah.
 
By : Action Line
 
New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Apa kata anda

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...